KUALA LUMPUR 9 Mei – Majlis Belia Malaysia (MBM) akan meraikan 500 belia yang pernah tercicir dalam bidang akademik dalam satu majlis Konvokesyen 1 Belia 1 Kemahiran, esok.
Setiausaha Agung MBM, Ahmad Saparudin Yusup berkata, majlis itu yang juga majlis konvokesyen keempat program tersebut amat bermakna kepada semua belia terbabit yang diberi peluang kedua dalam bidang latihan kemahiran walaupun tidak mendapat keputusan cemerlang dalam akademik.
“Majlis konvokesyen ini merupakan suatu pengiktirafan kepada semua belia berkenaan yang pernah tercicir dalam bidang akademik tetapi telah bangkit untuk berjaya melalui Program 1 Belia 1 Kemahiran kelolaan MBM.
“Program tersebut juga merupakan kerjasama kami dengan beberapa agensi kerajaan dan institusi latihan kemahiran awam dan swasta untuk memberi peluang kepada golongan belia memajukan diri mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Majlis penyampaian sijil kepada semua belia itu akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia di Dewan De Seri Endon, Bangunan Puspanitapuri, Putrajaya.
Turut berlangsung majlis pelancaran program 1B1K-UMP Kompeten: TVET Berasaskan Pembelajaran Sepanjang Hayat yang merupakan kerjasama antara MBM dengan Universiti Malaysia Pahang.
– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/mbm-rai-500-belia-tercicir-1.321435#sthash.yWUVMA9s.dpuf