MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM perlu suburkan modal insan

Thursday, 06 July 2006

Oleh Wan Jailani Razak 
Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo akan melepaskan jawatan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), esok. Apakah isu paling mencabar dan kejayaan bermakna pernah Datuk Seri tangani sepanjang memimpin MBM?

Saya menerajui kepemimpinan MBM pada Ogos 2002 daripada Datuk Saifuddin Abdullah yang mengosongkan jawatan Presiden kerana beliau sudah melebihi had umur 40 tahun. Bermula daripada situ, saya bekerja bersama belia untuk belia. Saya berasa seronok apabila sesuatu itu dapat dijalankan dengan sempurna dan mendatangkan manfaat buat semua pihak. Pengalamannya tidak ternilai.

Saya melihat belia sebagai aset dan harapan negara. Oleh itu, setiap program yang dilakukan akan saya pastikan menepati sasaran dan kehendak generasi muda. Untuk itu, saya memfokuskan kepada Agenda Menggerak Belia Negara.

Pada peringkat awal lagi, saya telah menggariskan penumpuan program belia mengikut umur mereka. Saya meletakkan umur 15 hingga 25 tahun, 24 hingga 30 tahun, dan 30 hingga 40 tahun. Bagi saya, pendekatan program mengikut kategori umur berbeza kerana mereka ada minat dan kecenderungan tersendiri.

Saya telah memperkenalkan program seperti Jejak Orang Muda untuk mendekati golongan remaja belasan tahun. Selain itu, bagi mendekatkan diri belia dengan masyarakat, program Belia Prihatin diperkenalkan.

Menerusi program ini, kita jelajah ke seluruh negara untuk menjalankan kegiatan kemasyarakatan seperti gotong-royong dan keluarga angkat. Kita telah bersama membantu mangsa tsunami di Kuala Kedah dan Aceh.

Tempoh Datuk Seri memimpin MBM agak singkat bagi menjayakan pelbagai program belia bagi membentuk generasi serba lengkap pada masa depan. Apakah Datuk Seri berpuas hati dengan pencapaian MBM sehingga kini?

Kalau ditanya, saya tidak akan berpuas hati dengan apa yang telah saya lakukan. Masih banyak perkara yang boleh dilakukan. Cabaran semakin hari semakin bertambah dan menjadi semakin rumit. Tetapi, saya perlu akur dengan Perlembagaan MBM yang meletakkan umur kepemimpinan yang menerajui MBM adalah 40 tahun.

Memimpin MBM adalah unik kerana di dalamnya ada badan dan pertubuhan yang mewakili agama, bangsa, budaya, pelajar dan badan beruniform. Inilah wadah yang dapat menyatukan kepelbagaian dan melalui kepelbagaian ini, MBM mampu menyumbang kepada kestabilan politik, ekonomi dan budaya negara.

Banyak pihak mahu MBM bertindak lebih agresif dalam menangani isu dadah, HIV dan Aids yang semakin membimbangkan terutama di kalangan generasi muda. Bagaimana pencapaian usaha MBM bagi memastikan angka 275,000 penagih berdaftar dan 65,000 penghidap HIV/Aids di Malaysia tidak terus meningkat?

MBM mencuba sedaya upaya menangani masalah ini. Usaha ini bukan mudah dan perlu terus dipergiatkan. Kita telah menjelajah hampir ke semua negeri untuk menyampaikan kesedaran mengenai pentingnya remaja menjauhi najis ini. Kita bersama Kementerian Belia dan Sukan turun padang menyampaikan mesej belia benci dadah.

Ketika ini, kita telah mengadakannya di 84 daerah di 12 negeri. Menerusi program ini, kita menyampaikan kempen dan ceramah kesedaran bahaya dadah kepada pelajar dan remaja. Mengapa mereka? Kita yakin mereka akan menjauhi najis dadah andainya mereka ditanam perasaan benci dadah.

Insya-Allah pada masa akan datang, pengurangan terhadap perkara ini akan berlaku. Namun, saya percaya masih banyak usaha perlu dilakukan dan ia memerlukan komitmen semua pihak. Kita akan sedaya upaya merealisasikan negara bebas dadah pada 2015.

Apakah harapan Datuk Seri selepas MBM diterajui kepemimpinan baru?

Harapan saya ialah semoga kepemimpinan baru akan terus komited menjayakan misi dan visi pertubuhan, membantu kerajaan melaksanakan program dan kegiatan untuk manfaat masyarakat. Saya mengharapkan agar mereka terus menjadikan agenda pembinaan negara bangsa sebagai perkara pokok. Modal insan hendaklah terus disuburkan kepada seluruh warga belia. Kita mahukan warga belia yang terhebat sama ada di dalam mahu pun luar negara. Saya akan membantu apa yang termampu untuk MBM.

Kesediaan Datuk Seri melepaskan jawatan tertinggi badan belia adalah keputusan amat signifikan dalam usaha perjuangan mengubah tradisi lapuk kepemimpinan belia negara. Langkah itu seharusnya diteladani pemimpin belia yang telah melepasi had umur dan daripada kalangan yang memegang jawatan politik. Apa pandangan Datuk Seri mengenai perjuangan itu?

Ya, saya berpegang kepada Perlembagaan MBM yang meletakkan had umur pertandingan adalah 40 tahun. Biarlah generasi muda memimpin dan belajar mengemudi bahtera. Mereka perlu dilatih dan belajar. Cukup banyak perkara yang boleh dipelajari apabila kita mengikuti pertubuhan belia. Memimpin pertubuhan adalah proses mematangkan kita semua. Oleh itu, saya amat yakin bahawa belia mampu memimpin dan proses belajar itu ada di situ.

Selepas Datuk Seri melepaskan jawatan sebagai Presiden MBM, selain sebagai Menteri Besar Selangor, apa lagi program yang akan dilakukan?

Saya melihat pengalaman yang diperoleh dalam persatuan belia adalah besar. Pengalaman memimpin belia Malaysia mempunyai pengalaman tersendiri yang boleh dikongsi dengan negara luar. Selepas ini, saya akan memberikan tumpuan sebagai Presiden Asian Youth Council (AYC). Saya dilantik menerajuinya bagi sesi 2005-2008.

Melalui jawatan ini, saya cuba memartabatkan belia Malaysia pada persada antarabangsa dan mengibarkan Jalur Gemilang di luar negara. Bagi saya, ini adalah amanah yang perlu saya laksanakan. Untuk itu, usaha yang padu akan saya lakukan bersama teman dalam MBM. Kepercayaan negara lain memilih saya sebagai presiden ini harus saya laksanakan.

Mengenai kemelut kepemimpinan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) akhirnya tamat dengan episod gembira apabila dua pemimpin yang berbalah bersetuju menerima formula perdamaian yang diilhamkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Sebagai orang tengah dalam menangani krisis itu yang berlarutan sekian lama, apa harapan Datuk Seri terhadap masa depan GPMS?

Harapan saya terhadap pertubuhan pelajar yang ulung ini ialah agar terus melaksanakan misi dan visi pertubuhan ke arah mengangkat martabat pendidikan pelajar Melayu. GPMS telah terbukti melahirkan ramai tokoh dalam negara.

Justeru, kegemilangan ini hendaklah diteruskan dan hapuskan perkara titik bengik dalam persatuan yang boleh mematikan idealisme dan semangat aktivisme dalam pertubuhan. Masih banyak perkara yang perlu dilakukan bagi mengangkat martabat pendidikan orang Melayu.

Sepatutnya kita lebih fokus dalam agenda mengangkat mutu pendidikan orang Melayu. Tetapi disebabkan perbalahan sesama kita, agenda besar tidak dapat dilakukan dengan sempurna kerana pemimpin dan ahli sibuk dengan masalah ini. Itulah kerugian yang terpaksa kita terima apabila berlakunya perkara seumpama ini.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »