PUTRAJAYA: Majlis Belia Malaysia (MBM) memberi amaran kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu agar tidak lagi mengulangi kesilapan menteri era terdahulu.https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.490.0_en.html#goog_472535841about:blank
Presidennya, Jufitri Joha ketika memberi peringatan keras itu berkata, sekiranya pihak menteri masih berdegil, sebahagian besar badan belia negara ini akan ‘mati’ tanpa ada lagi pemimpin.
“Kami bertegas meminta menteri itu lebih dengar suara akar umbi ahli gabungan MBM kerana kesannya amat besar dengan banyak organisasi bakal mati dengan tiada pengganti,” katanya.
Terdahulu, beliau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini hari ini sebagai melahirkan sokongan padu kepada 20 ahli MBM yang dipanggil untuk dirakamkan percakapan mereka.
Kumpulan itu didakwa kononnya mengadakan perhimpunan secara haram tanpa mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 di pekarangan kementerian berkenaan pada petang Khamis lalu.
Mereka terdiri lebih 60 ahli gabungan MBM itu berkumpul bagi menyerahkan memorandum bantahan usaha Ahmad Faizal mahu menurunkan had usia maksimum belia kepada 30 tahun.
Mengulas lanjut, Jufitri berkata, menteri berkenaan sepatutnya belajar daripada kesilapan penyandang kerajaan terdahulu apabila meminda perkara itu tanpa ada rundingan dengan MBM.
“Kami bukan menentang pun usaha itu tetapi dengarlah rintihan akar umbi sebab yang akan paling terkesan amat teruk ialah pemegang taruh dalam organisasi belia kita,” jelasnya kesal.
Meskipun tidak dinyatakan spesifik, beliau merujuk kegagalan menteri era Pakatan Harapan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang meminda Akta Pertubuhan Belia 2007 pada 2019 lalu.
Ia dibuat tanpa perundingan dan tidak sebagaimana dijanjikan iaitu diturunkan daripada 40 tahun kepada 35 tahun dengan pelaksanaannya dilakukan secara berperingkat terlebih dahulu.
Ironi, pindaan itu tidak dilaksanakan oleh penyandang selepasnya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tetapi diteruskan Ahmad Faizal untuk dikuatkuasakan 1 Januari depan pula.
Isu itu terbongkar apabila menteri itu mengumumkan di Parlimen pada 17 November lalu yang menyebabkan 41 badan di bawah MBM bangkit membantah kerana tidak dipanggil berunding.