MAJLIS BELIA MALAYSIA

Mangsa renjatan elektrik sambut hari lahir ke-22 di HKL

214

KUALA LUMPUR 30 Mei – Mangsa renjatan kabel elektrik, Muhamad Hairuman Miskon hari ini menerima kejutan apabila diraikan dengan penuh meriah oleh anggota keluarga, rakan-rakan dan kakitangan Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, sempena hari lahirnya yang ke-22.

Tambah meriah, majlis ringkas tetapi bermakna itu turut dihadiri oleh penerima Anugerah Perdana Belia Negara, Mohammad Rizan Hassan.

Menurut Muhamad Hairuman, sambutan hari lahirnya itu diadakan awal sehari kerana bimbang dia mungkin sibuk untuk urusan keluar dari wad, esok.

Katanya, meskipun gembira kerana dibenarkan keluar tetapi dia mengaku merasa sedih untuk meninggalkan rakan-rakan di wad rehabilitasi selain kakitangan di hospital itu.

“Manakan tidak, saya telah tinggal bersama mereka (pesakit) selama kira-kira dua bulan iaitu sejak 23 Mac lalu. Sebelum itu di Unit Kebakaran HKL selama lima bulan sebelum dipindahkan.

“Sudah tentu banyak kenangan tidak dapat dilupakan sepanjang di sini, apatah lagi apabila terpaksa menanggung kesakitan sehingga pulih,” katanya yang ceria ketika ditemui di HKL di sini hari ini.

Muhamad Hairuman berkata, pengalaman berada di HKL mengajarnya banyak perkara termasuk menginsafi bahawa terdapat ramai lagi insan menerima nasib sepertinya.

Katanya, malah dia bersyukur walaupun kehilangan tangan dan kaki kerana terpaksa dipotong akibat peristiwa hitam menimpa dirinya, namun masih lagi boleh bergerak.

“Ia sama sekali tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan kehidupan. Saya lebih bernasib baik kerana boleh bergerak walaupun kekurangan anggota badan berbanding pesakit lain yang lumpuh,” katanya.

Katanya, sepanjang berada di HKL, dia telah menjalani rawatan fisioterapi selain diberi latihan, kata-kata semangat, motivasi selain dipulih semangat akibat trauma untuk menjalani kehidupan.

Muhamad Hairuman yang gemar melukis komik turut berhasrat untuk menyambung pelajaran sebaik pulih sepenuhnya dari kecederaan yang dialami.

Kakaknya, Maryuni, 32, berkata, Muhamad Hairuman telah menjalani pembedahan lebih 10 kali dan kini menunggu bantuan kaki dan tangan palsu bagi membantu pergerakannya seperti manusia biasa.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »