KUALA LUMPUR 1 Nov. – Kerajaan wajar mengkaji semula atau meminda Seksyen 15 (5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang diputuskan sebagai tidak sah oleh Mahkamah Rayuan supaya ia selari dengan peredaran semasa dan realiti negara hari ini.
Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, ini kerana AUKU masih lagi relevan dan tidak perlu dihapuskan walaupun Mahkamah Rayuan telah memutuskan Seksyen 15 akta itu yang melarang mahasiswa berpolitik sebagai tidak sah.
“AUKU perlu ada penjenamaan baru dengan memperlihatkan Seksyen 15 yang dianggap tidak sah itu dipinda atau dikaji semula mengikut peredaran dan situasi realiti semasa negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam yang memutuskan seksyen tersebut yang sebelum ini menyekat mahasiswa terlibat atau menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap parti politik, adalah tidak sah di sisi undang-undang.
Ia ekoran rayuan oleh empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada April tahun lalu
Irmohizam yang juga Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, sekiranya seksyen itu mahu dipinda, kerajaan juga perlu membuat kajian menyeluruh bagi melihat implikasi sekiranya dibenarkan mana-mana mahasiswa berumur 21 tahun menyertai parti politik tanpa perlu membawa elemen kepartian di dalam kampus dan kuliah.
“Rata-rata mahasiswa ketika ini sudah matang dan saya kira sudah sampai masanya untuk dibenarkan menganggotai mana-mana parti politik memandangkan umur untuk melayakkan seseorang mengundi di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah 21 tahun ke atas.
“Kerajaan mungkin perlu bersedia mencari mekanisme yang sepatutnya diwujudkan sekiranya ada pindaan mengenai Seksyen 15 ini.
Beliau berkata, yang paling penting AUKU masih perlu dikekalkan kerana segala prinsip-prinsip dan falsafah kemajuan pendidikan tinggi negara berjaya dicapai disebabkan wujudnya akta itu.
Katanya, semua pihak bagaimanapun harus menghormati keputusan mahkamah itu selaras dengan prinsip Rukun Negara iaitu Kedaulatan Undang-Undang dan Keluhuran Perlembagaan yang menjadi teras kejayaan negara berbilang kaum ini.
Beliau berkata, kerajaan perlu melihat cara bagaimana untuk memperbaiki undang-undang sedia ada yang terkandung di dalam AUKU hasil daripada keputusan mahkamah itu.
Dalam pada itu, Majlis Peguam menggesa supaya Seksyen 15 (1), 15 (5) (b) dan 15 (5) (c) AUKU itu dikeluarkan daripada AUKU.
Naib Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong berkata, Seksyen 15 di dalam AUKU telah menafikan hak dan kebebasan para mahasiswa untuk bersuara.
Malah katanya, Seksyen 15 (1) turut menidakkan hak mahasiswa untuk terlibat dengan aktiviti berpersatuan.