Oleh :
Sdr. Fazril Mohd Saleh
Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia
merangkap; Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Belia Malaysia perlu bersedia mendepani arus perpolitikan semasa. Dengan pelaksanaan umur kelayakan mengundi 18 tahun atau juga dikenali dengan Undi18 dan Pendaftaran Pemilih Secara Automatik (PPSA), proses literasi politik dalam kalangan belia perlu dipercepat dan diberikan perhatian secukupnya.
Berkaitan aspek ini, saya menyinggung satu laporan portal berita dalam-talian, Malaysia Gazzette berjudul “PSAP persoal kehadiran Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) di pentas politik”, yang dipaparkan pada 16 Ogos 2022 baru-baru ini.
Dalam paparan portal tersebut, Presiden Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli dilaporkan membidas Presiden MBM, Izzat Afifi Abdul Hamid yang telah menghadiri suatu forum “Pengundi Muda Penentu Masa Depan Negara” sempena Hari Belia Negara peringkat Parlimen Indera Mahkota pada 14 Ogos 2022 yang lalu.
Menurutnya lagi, kehadiran Presiden MBM itu dilihat canggung kerana “MBM seharusnya bebas pengaruh politik” dan “sebagai ketua menerajui belia di Malaysia dan juga Pahang, saya menyelar tindakan Izzat Afifi hadir ke program yang pada pandangan saya anjuran Parlimen Indera Mahkota”.
Keprihatinan Haslihelmy DM Zulhasli seperti yang dilaporkan media tersebut mungkin ada asasnya. Beliau gusar sekiranya pertubuhan belia diperguna dan diperalatkan oleh golongan politikus.
Walau bagaimanapun, saya perlu merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah buat Izzat Afifi Abdul Hamid, selaku Presiden MBM kerana berani menyahut undangan untuk hadir dan menyampaikan buah fikirannya dalam forum tersebut.
Pada pandangan saya, sebagai pimpinan utama belia peringkat kebangsaan seperti beliau, penampilan di pelbagai platform adalah penting bagi mengetengahkan pandangan dan mengangkat suara belia.
Justeru, kehadiran Izzat Afifi dalam forum “anjuran Pejabat Parlimen Indera Mahkota” itu bukanlah suatu yang menimbulkan tanda tanya, malah tidak perlulah diselar.
Izzat Afifi secara jelas menampilkan sikap yang matang dalam merealisasikan aspirasi “Undi-18”. Dalam forum tersebut, beliau memberikan penegasan perihal potensi belia dalam melakar landskap baharu masa depan negara. Malah, Izzat juga bertegas dengan pandangannya yang menentang keras karenah perpolitikan negara mutakhir ini dengan adegan lompat parti, politik wang dan rasuah politik, isu ‘bad governance’ dan pelbagai lagi isu yang membuatkan anak muda muak dengan politik dan orang-orang politik.
Ini suatu tindakan bijak, matang dan berkepimpinan.
Sebagai seorang pemimpin belia, Izzat Afifi bukan hanya menghadiri acara yang dianjurkan oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota yang juga merupakan Menteri Luar Negeri, malah sebelum ini beliau juga pernah hadir dalam suatu forum anjuran Pemuda UMNO dan pada bulan Ramadan yang lalu menghadiri majlis iftar di Pejabat Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Saya yakin, beliau adalah seorang pemimpin muda berkaliber yang berfikiran terbuka, punya wawasan jauh dan bertindak dengan berstrategi, demi kemaslahatan belia.
Data oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan pelaksanaan Undi-18 akan membolehkan seramai lebih 1.2 juta individu berumur 18 hingga 20 tahun untuk mengundi dalam PRU-15 nanti. Walaupun begitu, kajian oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dalam mengukur kualiti dan kesejahteraan belia Malaysia (Indeks Belia 2019) menyimpulkan bahawa aspek sosialisasi politik belia Malaysia berada pada tahap yang sangat tidak memuaskan (nilai skor 29.03).
Justeru, menjadi tanggungjawab MBM untuk membantu golongan belia meningkatkan kadar literasi politik dan mempercepat sosialisasi politik, meliputi aspek keterlibatan dalam aktiviti politik meliputi penyertaan, mengikuti perkembangan dan perbincangan berkaitan isu politik.
Secara keorganisasian, saya sendiri merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MBM dan diberikan amanah sebagai Ketua Penerangan. Sepanjang hampir lima bulan kepemimpinan MBM di bawah teraju Izzat Afifi, saya akui sikap profesionalisme beliau dalam gerak kerja MBM. Beliau menyantuni pelbagai pihak, menjalin hubungan kerjasama dengan individu dan organisasi yang berbagai-bagai, dan bertindak bersandarkan fakta dan pembuktian.
Paling penting adalah keberanian beliau dalam mempertahankan prinsip dan ketegasan beliau dalam menyampaikan suara belia. Oleh itu, beliau dan seluruh kerabat kepemimpinan MBM mengambil langkah pantas untuk menyampaikan suara belia dalam pelbagai kesempatan dan platform, termasuklah di hadapan para politikus, kerana banyak perkara dan agenda kebeliaan masih belum selesai dan mestilah mendapat sokongan semua pihak.
Oleh yang demikian, saya sekali lagi berterima kasih kepada Haslihelmy DM Zulhasli, Presiden Suara Anak Pahang (PSAP), atas keprihatinan yang beliau zahirkan. Namun, saya juga menyarankan beliau meneladani kematangan dan kebijaksanaan Izzat Afifi dan kepemimpinan MBM dalam mengangkat suara belia.
Yakinlah, MBM tidak akan diperkotak-katikkan dengan mudah. MBM adalah cerminan kejituan aspirasi anak muda Malaysia yang berwawasan, dan kesedaran kolektif ini sedang dimanifestasi dalam agenda-agenda yang sedang dan akan direncanakan oleh MBM bersama-sama lingkungan pengaruhnya.
Apa yang penting, perbezaan pandangan bukanlah penghalang untuk kita semua bekerjasama dalam membangunan negara, khasnya dalam mengangkat martabat golongan belia Malaysia.
“Belia bertindak demi kebenaran dan keadilan”
Bertarikh : 18 Ogos 2022
Rujukan berita: