Penganjuran kali keempat bagi tahun ini serta kali kedua di negeri itu menyaksikan seramai 10,644 orang menyertai acara larian manakala 1,467 peserta pula mengambil bahagian dalam acara berbasikal.

Lebih meriah apabila Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut mengambil bahagian dalam acara larian sejauh 30 kilometer (km).

Menurut Khairy, sambutan luar biasa orang ramai dalam setiap kali penganjuran program tersebut menunjukkan minat rakyat yang semakin tinggi ke arah gaya hidup sihat dan cergas.

Sehubungan itu, tambah beliau, kerajaan khususnya kementeriannya akan melipatgandakan program sedemikian sama ada menerusi platform Fit Malaysia atau program lain seperti kempen 10,000 langkah sehari yang dianjurkan Kementerian Kesihatan.

“Secara tidak langsung, program seperti ini dapat membantu negara melahirkan atlet untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa. Ini kerana kita lebih mudah mencungkil bakat baharu, lebih-lebih lagi dengan penyertaan lebih ramai golongan muda,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program Fit Malaysia itu yang berlangsung di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Seri, Balik Pulau.

Turut menyertai program itu ialah Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya.

Program bertemakan #FitPenang itu bermula pada pukul 6.30 pagi dan berakhir kira-kira pukul 12.00 tengah hari membabitkan dua acara utama iaitu larian dan berbasikal.

Bagi acara larian, dua kategori dibuka iaitu 5 km dan 10 km manakala berbasikal pula sejauh 10 km dan 30 km dengan penyertaan adalah percuma.

Balik Pulau merupakan destinasi keempat penganjuran program itu tahun ini selepas diadakan di Miri, Sarawak; Masjid Tanah; Melaka dan Kuala Perlis, Perlis.

Tapah, Perak pula akan menjadi lokasi penganjuran kelima yang dijadual pada 29 Mei ini, sebelum program yang bakal dijadikan acara tahunan ini menjelajah ke seluruh negara sehingga November depan.

Sementara itu, Khairy berkata, Fit Malaysia akan dijenamakan sehingga menjadi pusat sehenti bagi aktiviti-aktiviti berbentuk kecergasan dan kesihatan dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, usaha itu akan dilihat lebih berkesan dalam mengajak rakyat ke arah gaya hidup sihat memandangkan penyertaan dalam acara yang dianjurkan menerusi Fit Malaysia adalah percuma.