PUTRAJAYA, 20 Februari – Majlis Belia Malaysia (MBM) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB. Steven Sim Chee Keong di Menara KBS di sini.
Delegasi ini diketuai Presiden MBM, Sdr. Jufitri Joha turut disertai Setiausaha Agung MBM, Sdr. Hasnul Haniff Harun, Ketua Penerangan MBM, Sdr. Wan Mohd Husni Abdullah, Exco MBM, Sdr. Hasanul Amir Abdul Halim, Sdri. Nurliyana Mohammad, Sdr. Syed. Osman Mohamed, Sdr. Hafizul Hafizi Abd Halim, Sdr. Mohamad Nazri Abdul Latif dan pegawai Felo Penyelidik Pejabat Presiden.
Pertemuan ini bertujuan mewujudkan hubungan kerjasama yang erat di antara MBM dan KBS. Dalam ucapannya, YB Menteri berkata, evolusi kewujudan gerakan persatuan di negara ini berlaku sejak dahulu lagi. Hari ini ia perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas sama ada masih diperlukan dan memenuhi keperluan pada abad ke-21 ini.
“Gerakan belia perlu dilihat dalam skop lebih luas mengambilkira kewujudan persatuan belia tidak berpersatuan yang juga menyumbang kepada masyarakat”.
“Ini tidak bermaksud ia tidak relevan atau dimansuhkan tetapi perlu penambahbaikan agar sesuai sebagai organisasi yang menyumbang kepada masyarakat dan negara”, ujar beliau.
Di akhir lawatan, Presiden MBM berbesar hati menyerahkan cenderahati kepada YB Timbalan Menteri dan bergambar kenangan. Semoga kerjasama yang terjalin ini akan dapat memartabatkan gerakan belia ke peringkat yang lebih tinggi.