CHERAS, 31 Jan 2016 – “Usaha melahirkan barisan kepimpinan masa hadapan merupakan perkara yang bersifat nasional dan ia merupakan salah satu komitmen utama daripada Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).” Kata Exco MBM, Sdr. Hasanul Amir Abdul Halim dalam ucapannya pada majlis penutup Kursus Kepimpinan Skuad MiB 300 anjuran Junior Chamber International (JCI) Malaysia.
Dalam ucapannya, beliau sempat berkongsi pengalaman beliau yang telah terlibat dalam pergerakan belia selama 16 tahun bagi memberi inspirasi kepada peserta program.
Tambah beliau, program Skuad MiB 300 pada kali ini merupakan yang paling menarik kerana penglibatan peserta daripada pelbagai bangsa dan latar belakang dapat dilihat. Beliau nyata gembira melihat keharmonian yang ditonjolkan oleh peserta yang merupakan generasi muda masa hadapan negara.
Paserta yang berkampung selama tiga hari di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras ini melalui pelbagai latihan dan cabaran yang disediakan oleh fasilitator bagi mencungkil bakat kepimpinan yang ada pada diri peserta. Selain itu, mereka turut didedahkan dengan perkongsian pengalaman bersama pemenang Anugerah Perdana Belia Negara 2015, yang juga Setiausaha Agung JCI Malaysia, Sdri. Nurul Huda Mohamed Afandi, ketua fasilitator, Tuan Ahmad Zakir Abdul Rahman dan exco MBM sendiri, Sdr. Hasanul Amir Abdul Halim.
Di hujung kursus, salah seorang peserta yang juga penghulu, Sdr. Anwar Qadri Abdullah sempat berkongsi pandangan beliau terhadap program ini kepada peserta lain.
“Skuad MiB 300 amat berbeza dengan kursus-kursus kepimpinan yang pernah saya sertai sebelum ini. Ia menerapkan latihan-latihan yang lebih praktikal dan benar-benar menguji kemampuan mental dan fizikal kami.” Kata beliau.
Kursus Kepimpinan Skuad MiB 300 anjuran JCI Malaysia ini dirasmikan oleh Eksekutif (Program) IYC, Sdr. Salehuddin Ghazali. Manakala majlis penutupnya dihadiri oleh Timbalan Presiden JCI Malaysia, Sdr. Bryan Soo.