EMPAT graduan daripada keluarga berpendapatan rendah yang hampir gagal membina kerjaya akibat kekangan kewangan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, akhirnya berjaya merealisasikan cita-cita mereka menerusi biasiswa Dana Impian Honda (HDF).
Penerima terbabit iaitu Jaswant Singh kini menjadi juruterbang di syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia berpangkalan di Kuching, Sarawak, manakala Ahmad Azuan Ton Mohamed bekerja sebagai pensyarah penerbangan di sekolah penerbangan di Kelantan.
Dua lagi graduan iaitu Aizan Sofia Amin berjaya memperoleh biasiswa Komanwel untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Ireland selepas menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana menerusi biasiswa HDF dan Ong Wei Li kini bertugas sebagai arkitek di Kuala Lumpur.
Ketua Eksekutif Honda Malaysia Sdn Bhd (Honda Malaysia), Yoichiro Ueno, berkata tahun ini, seramai 20 lagi pelajar daripada keluarga miskin akan menerima biasiswa HDF menjadikan keseluruhan 100 penerima selepas dana berkenaan dimulakan pada 2007.
Katanya, setiap tahun Honda Malaysia memperuntukkan RM1 juta sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu remaja yang bercita-cita tinggi daripada keluarga terbabit.
Beliau berkata, program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), manakala Persatuan Tindakan Wanita (AWAM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) bertindak sebagai panel penasihat untuk pemilihan penerima.
“Selain proses temu duga, pemohon juga dikehendaki menghantar artikel sepanjang 500 perkataan mengenai impian mereka dengan keterangan lanjut mengenainya boleh diperoleh menerusi laman sesawang, http://www.honda.com.my/hdf,” katanya kepada Varsiti di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ueno berkata, pihaknya mengadakan siri penjelajahan merentasi kawasan terpencil untuk mencari penerima biasiswa dan sehingga 28 Februari lalu seramai 290 remaja menghadirinya meliputi 100 di Sabah pada 11 hingga 13 Januari, diikuti 50 di Seremban dan Melaka (19 hingga 20 Januari) dan 140 di Sarawak (21 hingga 25 Februari).
Katanya, siri penjelajahan bertema `merealisasikan impian’ diteruskan ke Johor pada 1 hingga 3 Mac lalu, Perlis (7 hingga 10 Mac) dan berakhir di Kuala Lumpur pada 15 Mac ini.
“Proses akhir ialah memilih 60 peserta berpotensi untuk menyertai kursus kepimpinan selama tiga hari dan diikuti memuktamadkan senarai 20 penerima biasiswa HDF,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Residen UNDP bagi Malaysia, Singapura dan Brunei, Kamal Malhotra, berkata pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah seharusnya merebut peluang mencapai cita-cita menerusi biasiswa HDF.
“Remaja daripada keluarga berpendapatan isi rumah RM1,500 sebulan yang menepati syarat utama penerima HDF iaitu berusia 17 hingga 24 tahun dan mempunyai kelayakan akademik untuk melanjutkan pengajian ke universiti, sama ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), hendaklah merebut peluang kedua mencapai cita-cita menerusi dana berkenaan,” katanya.