MAJLIS BELIA MALAYSIA

Kenyataan Media : MBM Sokong Mempercepatkan Usul Akta Berkaitan Pekerja Sosial Dibawa Ke Parlimen

KENYATAAN MEDIA

MBM SOKONG MEMPERCEPATKAN USUL AKTA BERKAITAN

PEKERJA SOSIAL DIBAWA KE PARLIMEN

 

Majlis Belia Malaysia (MBM) melahirkan sokongan kepada hasrat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YAB Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk mempercepatkan usaha membawa Akta berkaitan Pekerja Sosial ke persidangan Parlimen akan datang.

MBM amat meyakini bahawa tugasan membangun masyarakat Malaysia perlu ditangani secara kolektif oleh setiap entiti dalam kalangan masyarakat. Selain entiti Kerajaan yang bersifat fasilitator kepada usaha mensejahterakan masyarakat, entiti masyarakat juga merupakan elemen penting yang menentukan dan mendokong usaha ini.

Kepelbagaian gerak kerja, persatuan, sukarelawan dan program-program khidmat masyarakat adalah satu kekuatan besar dalam masyarakat Malaysia. Bermakna usaha ini bukan bermula daripada ‘kosong’ kerana suburnya amalan kerja sukarela dalam masyarakat kita.

MBM sebagai badan induk pertubuhan belia juga giat bergerak ke arah yang sama. Sejak sekian lama MBM berperanan dalam melatih para belia dengan ilmu kepimpinan berteraskan semangat kesukarelaan. Malah atas misi itu MBM telah menubuhkan Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) sebagai platform menghimpunkan aktivis belia berdasarkan fokus bidang pengkhususan masing-masing.

MBM menginsafi tugasan membangun masyarakat ini memerlukan kefahaman yang mendalam dan semangat yang kental tanpa jemu. Amat penting usaha mereka ini diberi pengiktirafan sewajarnya malah dijadikan profesyen atau kerjaya.

MBM berpandangan pekerja sosial perlu diangkat kedudukan mereka melalui pengiktirafan terhadap peranan mereka dalam masyarakat. Atas sebab itu adalah penting pensijilan terhadap kerja yang mereka jalankan dilaksanakan.

Namun dalam masa yang sama, MBM mahukan pihak kementerian meneliti dan mengkaji sebab-sebab penolakan terhadap usul ini (2010) agar ia benar-benar difahami pelaksanaan dan manfaatnya kepada masyarakat serta tidak mematikan nilai asas kerja sukarela.

Sebagai sebuah NGO belia terbesar, penglibatan belia dalam sesi rundingan dan melampas otak sangat dihargai terutamanya menggabung jalin antara pekerja belia dan pekerja sosial ini.

Akhirnya MBM optimis bahawa misi membangunkan peradaban mesti didokong oleh sektor masyarakat yang prihatin dan kesungguhan kerajaan dalam memberi pengiktirafan sewajarnya kepada seluruh usaha murni.

 

Sekian, terima kasih.

 

 

AHMAD SAPARUDIN YUSUP

Setiausaha Agung

Majlis Belia Malaysia

 

Tarikh   :  25 Mei 2018

Tel         :  (013) 373 4934

Emel      :  mbmsua@gmail.com

 

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »