KENYATAAN MEDIA
MAJLIS BELIA MALAYSIA
MBM MINTA KERAJAAN BANTU MENSTABILKAN HARGA SEKTOR
KOMODITI UTAMA NEGARA YANG SEMAKIN TENAT
Majlis Belia Malaysia (MBM) ingin menarik perhatian Kerajaan dan masyarakat umum terhadap terhadap perkembangan terkini harga komoditi yang semakin tenat. Umumnya semua penoreh, pekebun serta mereka yang terlibat dalam komoditi getah dan sawit pada hari ini berada dalam keadaan gelisah berikutan penurunan harga yang cukup ketara mutakhir ini. Sebahagian besar yang terlibat dalam sektor ini adalah belia dan rakyat marhaen.
Kerajaan melalui agensinya yang berkaitan sektor ini seperti Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) harus memainkan peranan segera dalam menstabilkan harga getah lebih-lebih lagi di sebelah Pantai timur yang pada penghujung tahun mengalami musim tengkujuh.
Antara tindakan awal yang perlu bagi kerajaan membantu sektor ini adalah penetapan harga subsidi atau harga lantai dalam memastikan nasib pekebun kecil terus terbela.
Dalam pada itu kerajaan juga perlu menyediakan pelan-pelan sokongan jangka panjang seperti tanaman integrasi bersama tanaman komoditi tersebut untuk memastikan mereka yang terlibat dapat mencari rezeki sepanjang masa dan tidak bergantung kepada permainan harga di pasaran dunia.
Insentif yang setimpal akan menarik penoreh getah kembali menoreh dan merancakkan industri getah dan sawit tempatan yang juga gah membawa nama Malaysia di mata dunia dalam industri ini.
Rantaian ekonomi komoditi getah dan sawit sangat berkait rapat dengan ekonomi masyarakat luar bandar khususnya mereka yang mengusahakan sendiri sektor ini di kampung-kampung. Ia memberi kesan rantaian ekonomi kepada kawasan luar bandar itu sendiri lebih-lebih lagi bagi mereka yang masih menyara anak kecil dan keluarga muda.
Di samping itu juga, Kerajaan perlu mempelbagaikan negara untuk terlibat dalam pasaran getah dengan tidak tertumpu hanya kepada negara-negara tertentu sahaja.
Penggunaan getah dalam industri seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019 yang lalu seperti penggunaan getah dalam pembinaan jalan raya diharapkan akan membantu menstabilkan harga getah pada masa hadapan.
Kerajaan juga harus memperbanyakkan lagi pemantauan serta kursus-kursus kepada pemain industri agar dapat meningkatkan kualiti getah Malaysia melalui SMR iaitu Standard Malaysian Rubber. Tanpa peranan industri yang cekap serta sikap amanah akan mengurangkan kepercayaan negara pengimport kepada sektor getah Malaysia sekaligus akan menurunkan permintaan kepada hasil getah negara.
MBM melalui Jawatankuasa Pertaniannya akan terus memantau keadaan ini sambil mendesak Kerajaan terus bersungguh-sungguh membela nasib golongan ini.
JUFITRI JOHA
Presiden Majlis Belia Malaysia