MAJLIS BELIA MALAYSIA

Kenyataan Media : MBM Desak YB Menteri Sumber Manusia Supaya Menumpukan Sepenuh Perhatian Menyelesaikan Isu Bantuan Pembiayaan Latihan Kemahiran Dan Bukannya Mencetus Isu-Isu Kontroversi Yang Merugikan

KENYATAAN MEDIA

MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM) DESAK YB MENTERI SUMBER MANUSIA SUPAYA MENUMPUKAN SEPENUH PERHATIAN MENYELESAIKAN ISU BANTUAN PEMBIAYAAN LATIHAN KEMAHIRAN DAN BUKANNYA MENCETUS ISU-ISU KONTROVERSI YANG MERUGIKAN

 

  1. Dimaklumkan bahawa sidang media dan kenyataan hebahan media berkenaan isu bantuan pinjaman latihan kemahiran di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) sudah beberapa kali diadakan sejak awal tahun sehinggalah terbentuknya kerajaan baru selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

 

  1. MBM amat berterima kasih kepada Menteri Sumber Manusia, YB. M. Kula Segaran yang ada juga memberi respon akan menyelesaikan isu pendanaan itu dengan segera. Namun, sehingga bulan Ogos 2018 masih belum ada petanda isu berkenaan benar-benar menemukan jalan penyelesaiannya.

 

  1. Sidang media hari ini adalah kenyataan bersama di antara:

 

  • Majlis Belia Malaysia (MBM)
  • Persekutuan Pusat Bertauliah JPK Malaysia (FEMAC)
  • Gabungan Institusi Latihan Kemahiran Swasta Bumiputera (GILKSB)
  • Gabungan Institusi Latihan Kemahiran India Malaysia (GAPKIM)
  • Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB)

 

  1. MBM amat memahami peranan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang bertanggungjawab untuk menguruskan dana pinjaman latihan kemahiran yang berterusan kepada pelatih yang mengikuti latihan kemahiran.

 

  1. MBM melihat sejak PTPK diperbadankan pada 1 Jun 2006 tumpuan pembiayaan pinjaman latihan kemahiran adalah kepada golongan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan juga pelajar tercicir selepas Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

 

  1. Kewujudan PTPK secara jelas sebagai satu platform dan inisiatif Kerajaan Malaysia dalam membantu golongan belia yang memerlukan bantuan dana pinjaman latihan kemahiran untuk mengikuti bidang teknikal dan vokasional (TVET), termasuk belia yang tercicir akademik dan yang memerlukan peluang kedua bangkit dari masa lalu.

 

  1. Dengan segala macam promosi, galakan dan pemerkasaan jenama TVET oleh 7 kementerian berkaitan dengan pelaksanaan TVET, tumpuan masyarakat khususnya para belia ialah kepada memilih TVET sebagai pilihan utama.

 

 

  1. Namun begitu, sejak 5 tahun kebelakangan ini, MBM mendapati banyak isu berkaitan belia berkemahiran telah dibangkitkan dan diperbincangkan dalam banyak platform. Isu yang paling hangat dan mencengkam ialah berkaitan dana pembiayaan latihan di bawah PTPK.

 

  1. MBM berpandangan bahawa soal pembangunan modal insan merupakan faktor kritikal bagi menjana dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia tidak boleh di kompromi. Akses dan peluang latihan perlu dibuka seluasnya kepada semua. Manakala bantuan pendanaan perlu secukupnya dalam membekalkan tenaga mahir untuk keperluan industri.

 

  1. MBM berpendapat ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi adalah penting untuk menyokong peralihan semua sektor ekonomi ke arah aktiviti berintensifkan pengetahuan, menjana produktiviti buruh dan menarik pelaburan ke Malaysia.

 

  1. Hal yang demikian, MBM merayu dan memohon kepada Kerajaan Malaysia agar peruntukan yang besar atau secukupnya dapat disalurkan kepada PTPK supaya PTPK dapat memainkan peranan aktif untuk membiayai pinjaman dan bantuan kewangan khususnya kepada belia lepasan sekolah yang ingin mengikuti latihan kemahiran dalam pelbagai bidang pekerjaan yang diperlukan oleh industri.

 

  1. MBM berharap bantuan pendanaan serta-merta dapat disalurkan kepada golongan belia yang memilih TVET sebagai pilihan mereka memandangkan pilihan yang mereka ada hanyalah memilih institusi latihan kemahiran swasta (ILKS) memandangkan hanya ILKS yang menerima mereka untuk peluang kedua dengan kelayakan akademik rendah serendah boleh 3M iaitu Membaca, Menulis dan Mengira sahaja.

 

Sekian, terima kasih

 

AHMAD SAPARUDIN YUSUP
Setiausaha Agung
Majlis Belia Malaysia

 

Tarikh    : 2 Ogos 2018

Telefon    : (013) 373 4934

Emel       : mbmsua@gmail.com

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »