KENYATAAN MEDIA
MAJLIS BELIA MALAYSIA
DASAR KOMUNITI NEGARA DALAM MENCORAK PERUBAHAN
KEHIDUPAN MASYARAKAT BANDAR
Majlis Belia Malaysia (MBM) menyokong penuh kepada Dasar Komuniti Negara yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 17 Februari 2019 lalu.
Dalam pembentukan sahsiah dan mentaliti masyarakat kearah yang lebih positif, dasar ini dilancarkan tepat pada waktunya. Pemerhatian rambang menyaksikan masyarakat terutama di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) di bandar-bandar besar khususnya, masih hidup dalam lingkungan persekitaran yang tidak sihat. Ini menjadi penyumbang kepada lahirnya golongan belia berisiko jika tidak dibendung dengan betul.
MBM melihat dasar ini sebagai satu usaha yang holistik dan pembuka jalan kepada pihak kerajaan, komuniti dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam menangani masalah-masalah yang tidak pernah selesai sebelum ini seperti isu kebersihan, vandalisme dan gejala sosial.
Selain itu, pelaksanaan dasar ini dilihat penting dalam memastikan negara berada pada landasan yang tepat kearah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang dilancarkan oleh United Nation (UN) sejak 2015. Dalam matlamat ke-11 SDG, UN menggariskan Pembangunan Bandar dan Komuniti Yang Mampan menjelang 2030. Matlamat utama UN berdasarkan SDG adalah menjelang 2030, memastikan perumahan yang mencukupi, selamat dan berpatutan, cukup perkhidmatan asas serta menaik taraf kawasan kumbahan.
Justeru, menjadi harapan rakyat Malaysia terutama golongan muda khususnya B40 untuk melihat sebuah komuniti yang selesa, selamat dan kondusif dapat dilaksanakan di komuniti-komuniti bandar bagi memberi ruang perlindungan kepada mereka serta dapat menikmati kehidupan yang lebih produktif.
JUFITRI BIN JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Tarikh : 7 Mac 2019
Tel : (017) 353 3625
Emel : jufitri1979@gmail.com