MAJLIS BELIA MALAYSIA

KBS bekerjasama dengan Insken bangunkan usahawan bumiputera

PUTRAJAYA 9 Mei – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Institut Keusahawanan Negara (Insken) bagi bekerjasama membangunkan usahawan dalam kalangan belia Bumiputera.

Menterinya, Khairy Jamaluddin (gambar) berkata, kerjasama itu selaras dengan langkah strategik KBS untuk terus meningkatkan keupayaan usahawan belia daripada tahap mikro ke peringkat industri kecil dan sederhana (IKS).

Usahawan belia tahap mikro bermaksud mereka yang mempunyai nilai jualan tahunan RM300,000 ke atas atau mempunyai sekurang-kurangnya tiga orang pekerja, katanya.

“Pembangunan usahawan merupakan agenda nasional, iaitu bukan hanya tentang tumbesaran ekonomi yang dapat dijana usahawan tetapi peluang pekerjaan yang dibina, tahap kreativiti serta prinsip keusahawanan yang dapat disemai,” katanya semasa perasmian Konvensyen Youth Entrepreneurs Network (YEN) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha kementerian Datuk Lokman Hakim Ali.

Insken berperanan sebagai sebuah pusat kecemerlangan pembangunan keusahawanan yang menyelaras dan memudah cara latihan dan pembangunan keusahawanan dalam mewujudkan ekosistem keusahawanan yang berdaya maju, mampan, dan lestari.

Diletakkan di bawah seliaan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) Jabatan Perdana Menteri, Insken melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan berusaha menyediakan program inovatif yang berasaskan keperluan industri dan dipacu usahawan untuk mencapai objektifnya.

Mengenai YEN, Khairy berkata penganjuran julung kali itu bertujuan mewujudkan platform kepada usahawan belia bagi menjalinkan rangkaian perhubungan perniagaan antara satu sama lain melalui pameran, jualan dan sesi perkongsian kejayaan dan sebagai permulaan, ia hanya memberi fokus kepada usahawan di sekitar Lembah Klang.

Majlis itu juga menyaksikan seramai 28 usahawan belia Bumiputera diberikan sijil pengiktirafan kerana berjaya dalam perniagaan masing-masing dan mencapai tahap usahawan IKS. – BERNAM

– See more at: http://m.utusan.com.my/bisnes/usahawan/kbs-bekerjasama-dengan-insken-bangunkan-usahawan-bumiputera-1.320425#sthash.v2MFmgFc.MVo2YGBv.dpuf

See more at: http://m.utusan.com.my/bisnes/usahawan/kbs-bekerjasama-dengan-insken-bangunkan-usahawan-bumiputera-1.320425#sthash.v2MFmgFc.MVo2YGBv.dpuf

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »