ALOR SETAR 12 Mei 2011 – Kira-kira 10,000 orang dijangka mengunjungi Karnival Usahawan di pekarangan Stadium Darul Aman yang berlangsung selama dua hari mulai esok.
Karnival itu dianjurkan oleh Majlis Belia Negeri (MBN) Kedah dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Kedah bersempena sambutan Hari Belia 2011 peringkat negeri.
Bendahari MBN Kedah, Shaharol Niza Omar berkata, karnival berkenaan bermatlamat menghimpunkan usahawan belia di bawah satu program besar di peringkat negeri.
Katanya, ia juga bertujuan memberi pendedahan dan peluang pemasaran yang luas kepada kumpulan itu serta membuka peluang kepada syarikat-syarikat besar untuk turut terlibat sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat.
Pelbagai aktiviti untuk semua peringkat usia disediakan termasuk pertandingan audio kereta, pertunjukan drift, pertandingan nasyid dan kompang, pertandingan mewarna, karnival kerjaya dan pendidikan, kempen menderma darah serta kempen daftar pemilih.
“Kejohanan Trek dan Balapan Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan turut diadakan. Ini merupakan satu nilai tambah terhadap pemasaran Karnival Usahawan ini,” katanya.