KUALA LUMPUR 11 Julai – Golongan pelajar universiti yang bertanggungjawab seharusnya tidak ‘melacurkan’ masa depan mereka dengan menyertai perhimpunan haram.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, mereka perlu sedar bahawa menyertai perhimpunan sedemikian adalah salah di sisi undang-undang termasuk Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
”Mereka juga harus maklum tentang risiko sekiranya ditahan oleh pihak berkuasa.
“Fikirlah tentang masa depan. Kalau benar-benar mahu menampakkan kematangan dan suara didengari, ada saluran-saluran tertentu untuk mereka menyuarakannya, bukan dengan cara berhimpun secara haram seperti kelmarin.
”Kalau ada yang menyertainya, ia sesuatu yang cukup dikesali. Mereka sengaja menempah masalah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai penglibatan pelajar universiti dalam perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di ibu negara yang jelas menyalahi undang-undang negara.
Kata Mohamed Maliki, selain menyedari akan risiko jika ditahan, mereka perlu ‘bersimpati’ dengan diri sendiri dengan menolak sebarang penyertaan dalam perhimpunan haram.
Ditanya apakah mereka wajar dikenakan tindakan jika menyertai perhimpunan haram, tambahnya, ia wajar kerana itu membabitkan undang-undang negara.
”Mereka sebenarnya tahu tentang risiko ditahan. Justeru, adalah wajar tindakan diambil. Jika tidak, penguatkuasaan kita akan dianggap lemah.
”Dalam hal ini, MBM tidak dapat melindungi mereka,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, MBM bersedia menjadi ‘orang tengah’ untuk mendengar segala kehendak dan suara hati pelajar bagi disampaikan kepada kerajaan.
”Mereka ini perlu didekati. Kami bersedia jumpa pelajar untuk mendengar segala kehendak mereka,” ujarnya.