PETALING JAYA: Pengumuman gaji minimum RM1,700 bermula Februari depan menerusi Belanjawan 2025 mampu memberi impak besar kepada lebih sejuta pekerja muda, kata Majlis Belia Malaysia (MBM).
Presiden Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, pengumuman itu selaras komitmen kerajaan meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pertumbuhan ekonomi lebih inklusif dan mampan.
Golongan belia, khususnya akan mendapat manfaat besar daripada inisiatif ini dalam menghadapi cabaran kos sara hidup,katanya kepada FMT.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan gaji minimum baharu iaitu RM1,700 berbanding RM1,500 pada masa ini ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, semalam.
Bagaimanapun, Anwar berkata kerajaan memberi penangguhan enam bulan kepada majikan yang mempunyai kurang lima pekerja, dengan pelaksanaan bermula 1 Ogos.
Sementara itu, Izzat berkata peruntukan RM50 juta bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang akan dimulakan secara rintis dengan konsep baharu penting bagi memperkukuhkan jati diri dan semangat kenegaraan dalam kalangan belia selain memupuk disiplin, tanggungjawab serta semangat patriotisme.
Katanya, manakala pengenalan skim ‘Step Up Financing’ bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan jaminan kerajaan sehingga RM5 bilion khusus untuk golongan muda yang ingin memiliki rumah pertama adalah langkah sangat dialu-alukan.
Skim ini menawarkan bayaran balik pinjaman lebih rendah bagi tempoh lima tahun pertama, yang pastinya dapat meringankan beban kewangan golongan muda dan membantu mereka memiliki aset penting seperti rumah,
katanya.
Menurutnya, MBM juga menyokong inisiatif Geran Padanan RM10 juta melalui TalentCorp bawah Program Latihan Industri Untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (LiKES) kerana ia penting dalam memperkasakan graduan muda dengan kemahiran yang relevan dan meningkatkan kebolehpasaran dalam bidang kritikal masa hadapan.
Artikel penuh :