MAJLIS BELIA MALAYSIA

Berpersatuan Budaya Yang Patut Ada Pada Setiap Belia

Sandakan 3 Nov – Golongan belia khususnya di negeri ini diseru supaya mengamalkan budaya berpersatuan kerana mereka adalah generasi dan pemimpin harapan masa depan.

Ketua Menteri Sabah berkata menerusi aktiviti berpersatuan, belia bukan sahaja dapat menghindari gejala tidak sihat malah dapat menyemai nilai-nilai kepimpinan dan jati diri belia.

Selain itu, berpersatuan juga menjadi pemangkin kepada semangat perpaduan, kesukarelaan, perintis keusahawanan serta pencetus inovasi dan kreatif. Justeru, katanya, kerajaan negeri mengambil berat terhadap kepentingan belia dan sentiasa menghargai peranan dan sumbangan mereka.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong yang hadir mewakili beliau ketika merasmikan sambutan Hari Belia peringkat negeri di sini.

Pada majlis itu, Jaujan turut menyampaikan beberapa anugerah belia antaranya Anugerah Perdana Belia Negara peringkat negeri Sabah kepada Nur Fadilah Mohamad dan Iranmal Kasan (Kategori Wanita dan Lelaki) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Tuaran (Pertubuhan Belia). Anugerah Ikon Belia Harapan kategori keusahawanan diterima Patang Saharing, Azuwan Marjan (Kepimpinan) dan Ahmad Farid Sainuri (Kesukarelawan).

Pelbagai pengisian dijalankan pada program yang berlangsung dua hari ini seperti pertandingan sukan, e-games, forum agama, wacana kenegaraan, aktiviti kebudayaan, keusahawanan, derma darah, pameran pendidikan dan kemahiran dan banyak lagi. Majlis penutup disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri Datuk Poon Ming Fung pada 4 November 2018.

Turut hadir pada program berkenaan, Datuk Hj Awang Damit Awang Anak, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Tuan R. Effendi Razali, Pengarah JBSN Sabah, Sdr. Norman Ryan, Presiden Majlis Belia Sabah, Datuk Peter Hoi Chang Lim, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Presiden MBM, Sdr. Muhammad Fadzli Hasan, Sdr. Azuwan Marjan, Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, Sdri. Nurul-Huda Mohamed Afandi, Naib Presiden MBM, Sdr. Hasnul Haniff Harun, Setiausaha Agung MBM, Sdr. Wan Mohd Husni Abdullah, Ketua Penerangan MBM dan Sdr. Hazrul Hafizi, EXCO MBM.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »