MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bengkel Pemurnian dan Penulisan MBPB 2030

SERDANG 16 Feb – Bengkel Pemurnian dan Penulisan Model Baharu Pembangunan Belia 2030 telah belangsung dari 14 hingga 16 Februari 2021 bertempat di Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM). Bengkel ini diadakan bagi memastikan modul yang dihasilkan dapat diterjemahkan dalam bentuk naskah yang mudah difahami disamping selari dengan matlamat modul.

Untuk pengetahuan umum, Model Baharu Pembangunan Belia 2030 (MBPB2030) merupakan inisiatif daripada Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha menambah baik Dasar Belia Malaysia sedia ada supaya ianya lebih relevan dalam suasana dan cabaran belia masakini yang lebih kompleks.

Bengkel ini dikendalikan oleh lima orang pakar atau ahli akademik yang dominan dalam lapangan belia antaranya Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, Prof. Dr. Haslinda Abdullah, Dr. Ahmad El-Muhammady, Dr. Wendy Yee Mee Tien dan Dr. Mohd Mursyid Arshad.

Empat bidang keutamaan MBPB2030 diperbincangkan secara mendalam termasuklah; (i) Pendidikan dan Latihan Berkualiti, (ii) Penciptaan Pekerjaan dan Peningkatan Pendapatan, (iii) Kecergasan dan Kesejahteraan Hidup, dan (iv) Penglibatan dan Suara Belia.

Keempat-empat bidang ini diperhalusi bagi mendapatkan garis panduan bagaimana kita dapat memastikan setiap cabaran baik dari segi ekonomi, teknologi digital mahupun kesihatan dapat dikawal sebaiknya oleh belia masa hadapan dalam membentuk Masyarakat 5.0 mengikut acuan Malaysia.

Semua perbincangan adalah berasaskan kepada hasil dapatan daripada semua sesi libat urus yang telah dijalankan sebelum ini bersama pihak kerajaan, swasta, NGO, perkumpulan belia dan banyak lagi.

Hadir mewakili MBM adalah Ahli Dewan Tertinggi MBM, Sdr. Syafiq Ridzwan, Felo Penyelidik Pejabat Presiden MBM, Sdr. Mohd Fauzi Fadzil dan Sekretariat MBM, Sdr. Mohd Syazwan Kamarul Bahrin.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »