KUALA LUMPUR 15 Dis – Bengkel Pemantapan Skills Building for All – Orang Asli Youth Community melabuhkan tirainya hari ini dengan beberapa input dan penambahbaikan dalam usaha kelestarian masyarakat Orang Asli khususnya golongan belia.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Puan Hajah Sapiah Mohd Nor bertempat di bilik Delima, Pusat Belia Antarabangsa.
Dalam ucapannya beliau menyambut baik usaha ini kerana selari dengan matlamat jabatan ini di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
“Saya ambil maklum hasil bengkel ini dan kita akan lihat apa yang kita boleh bantu dari segi ekonomi belia-belia Orang Asli”, ujar beliau.
Program anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama UNICEF Malaysia ini bertujuan memperkasa komuniti Orang Asli khususnya golongan belia melalui pembangunan kapasiti dan kemahiran, peningkatan kepelbagaian inovatif prospek ekonomi dan pembangunan mampan (sustainable development).
Hadir sama Bendahari Kehormat MBM, Sdr. Mohd Izham Ahmad dan Presiden Majlis Belia Orang Asli Malaysia Sdr. Clive Allen.
Program yang berlangsung selama dua hari ini diisi dengan taklimat, aktiviti dalam kumpulan (team building), tayangan video, perkongsian mengenai projek dan perancangan masa depan, tugasan luar di Pusat Kraftangan dan Pasar Seni.
Peserta juga didedahkan dengan ilmu kemahiran, kepimpinan, kaedah penyelesaian masalah dan cabaran.
Belia Orang Asli ini daripada tiga suku kaum iaitu Jah hut, Semelai dan Semai dari Perkampungan Jah hut Sg Kiol Jerantut, Pahang; Semelai Batu Peti Jelai Negeri Sembilan dan Ampang Woh Tapah, Perak.
Inisiatif ini bertujuan memperkasa komuniti Orang Asli khususnya golongan belia melalui pembangunan kapasiti dan kemahiran, peningkatan kepelbagaian inovatif prospek ekonomi dan pembangunan mampan (sustainable development).
Bengkel dikendalikan oleh Dr. Syafiqah Abd Rahim, Penyelidik MBM, Puan Bibi Zaleha serta trainer terlatih.