MAJLIS BELIA MALAYSIA

Belia digesa aktif kegiatan ekonomi

MARUDI 9 April 2012 – Peranan belia dalam membangunkan negeri telah diperakui, namun ia belum memadai sekiranya mereka tidak bergiat aktif dalam bidang ekonomi.

Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas), Datuk Seri Abang Johari Tun Openg berkata, penglibatan aktif dalam sektor ekonomi itu boleh diterjemahkan melalui pertubuhan berkenaan yang sentiasa memainkan peranannya ke arah pembangunan belia.

“Apa yang paling penting untuk membangunkan negeri serta negara ini ialah tenaga belia yang ada harus dipergunakan dengan sebaik-baiknya termasuk dalam bidang ekonomi.

“Ia boleh dilakukan melalui kerjasama rapat dengan golongan yang lebih berusia kerana mereka mempunyai pengalaman memajukan negeri ini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Pelancongan negeri berkata demikian pada Majlis Perasmian Saberkas Cawangan Marudi di Dewan Suarah Marudi di sini hari ini.

Pada masa ini, Saberkas Cawangan Marudi mempunyai lebih 800 ahli dari enam unit iaitu Unit Pekan Marudi, Unit Nabor, Unit Teruking, Unit Beluru, Unit Jegan dan Unit Pengelayan.

Sementara itu, Abang Johari berkata, sebagai pemimpin belia, ahli Saberkas diharap dapat mendengar dan mengambil berat permasalahan rakan-rakan mereka dan rakyat keseluruhannya di peringkat akar umbi.

Dalam konteks itu katanya, semua pihak perlu sedar bahawa kaedah pengurusan pertubuhan belia termasuk Saberkas juga perlu diselarikan dengan peredaran masa bagi membolehkan ia kekal relevan.

“Sebagai pemimpin, kita perlu mendengar pendapat ahli dan rakyat di peringkat akar umbi.

“Sekiranya kita mampu melaksanakan semua ini, saya yakin golongan belia sentiasa bersama kita,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyatakan harapan supaya masyarakat setempat mempersiapkan diri bagi menghadapi arus perubahan terutama selepas siapnya projek jalan raya sejauh 58 kilometer (km) yang menghubungkan pekan ini dengan bandar raya Miri.

“Banyak peluang dalam pelbagai kegiatan ekonomi yang boleh disertai apabila projek jalan berkenaan disiapkan dan yang paling penting ialah rakyat mesti mempersiapkan diri,” katanya.

“Janganlah dilepaskan peluang seperti ini dalam usaha kita meningkatkan taraf ekonomi masyarakat luar bandar,” tegasnya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »