KUALA LUMPUR: Pendekatan lebih fleksibel melalui pelaksanaan skim bayaran balik berasaskan pendapatan mampu menangani isu tunggakan pinjaman pendidikan.
Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid, berkata langkah itu adalah ‘jalan keluar’ kepada graduan lepasan universiti awam atau institusi kemahiran yang berdepan masalah kewangan.
“Ada yang sukar membayar balik pinjaman kerana gaji rendah, masih menganggur atau berhenti kerja untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.
“Mengambil kira keadaan kewangan peminjam, MBM mencadangkan pelaksanaan skim bayaran balik berasaskan pendapatan seperti dilakukan di beberapa negara.
“Sebagai contoh, Australia dan New Zealand berjaya melaksanakan skim bayaran balik yang mana kerajaan mengutip bayaran apabila peminjam melepasi pendapatan tertentu,” katanya kepada BH.
Semalam, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), Rajiv Rishyakaran, berkata seramai 115,780 akaun peminjam pembiayaan itu didapati gagal membuat bayaran balik.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan tunggakan belum dibayar peminjam PTPK sejak ditubuhkan pada 2000 mencecah RM933.9 juta.
Mengulas lanjut, Mohd Izzat Afifi berkata, reformasi skim pinjaman wajar dilaksanakan dengan mengambil kira situasi semasa pasaran pekerjaan dan kos sara hidup yang meningkat.
“Masalah tunggakan pinjaman pendidikan bukan hanya berlaku di Malaysia, malah di Amerika Syarikat, jumlah hutang pelajar kini mencapai AS$1.5 trilion, dengan ramai graduan sukar membayar balik pinjaman mereka kerana pasaran pekerjaan tidak stabil dan gaji permulaan rendah.
“Begitu juga di Korea Selatan, kira-kira 90 peratus daripada golongan muda melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi, menyebabkan peningkatan hutang pendidikan yang lebih pantas berbanding hutang pengguna lain,” katanya.
Beliau berkata, dalam situasi ini, pelbagai negara memperkenalkan skim pembayaran balik berasaskan pendapatan untuk mengurangkan beban kewangan pelajar dan mengelak peningkatan tunggakan hutang yang boleh menjejaskan ekonomi negara.
Artikel penuh :