MAJLIS BELIA MALAYSIA

Ambil langkah drastik bendung budaya gay – NGO

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Kerajaan disarankan mengambil langkah drastik membendung budaya gay atau seks songsang yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini agar ia tidak memberi ancaman kepada negara.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sependapat sudah tiba masanya kerajaan memandang serius masalah tersebut kerana ia kian meruntuhkan moral masyarakat negara ini.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamad Maliki Mohamed Rapiee berkata, pihak berkuasa perlu bertegas ke atas mereka yang terlibat dan bukan sekadar membuat serbuan di kelab-kelab.

Katanya, budaya gay ataupun seks songsang merupakan dakyah Barat bagi memesongkan akhlak masyarakat di negara Islam yang sudah tidak lagi berpegang kepada ajaran yang sebenar.

 

“Budaya gay bukan sahaja mencemarkan nama negara malah lebih teruk lagi ia melibatkan keruntuhan institusi sosial selain mendorong masyarakat ke arah gaya hidup yang tidak bermoral.

“Kita tidak mahu masyarakat negara terpengaruh serta terus hidup dalam kesesatan hanya kerana diperdaya oleh pemikiran Barat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohammad Sheikh Abdul Aziz mengenai budaya gay yang berleluasa tidak sepatutnya dipandang remeh kerana ia mampu memberi ancaman kepada negara.

Menurut Mohamad Maliki, ibu bapa berperanan memantau kegiatan anak-anak selain memberi didikan agama secukupnya bagi memastikan mereka tidak terlibat dengan masalah sosial seumpama itu.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas dan menutup mana-mana kelab yang menjadi tempat golongan gay berkumpul.

Katanya, masyarakat setempat juga perlu berperanan membantu kerajaan membanteras gejala ini, seterusnya menyekat masalah tersebut daripada terus menular.

“Tidak dinafikan bahawa pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) juga terlibat dalam masalah ini kerana tiada pengawasan ibu bapa dan juga kurangnya didikan agama.

“Dengan ini saya berharap kerajaan peka dengan masalah tersebut dan mengawal filem-filem Barat yang mengandungi unsur-unsur tidak sihat daripada terus ditayangkan di negara ini,” katanya.

Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay pula berpendapat, golongan profesional yang terlibat dalam budaya gay perlu meninggikan ilmu agama selain ilmu pengetahuan.

Katanya, sebagai golongan profesional mereka sepatutnya menjadi teladan dan bukan terlibat dalam kegiatan tidak bermoral tersebut.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »