SEREMBAN 14 Mei 2011 – Seramai 10,000 belia dijangka menghadiri sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Paroi dekat sini, esok.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Baharuddin Jali memberitahu, majlis yang dijadualkan bermula pukul 9 pagi itu dijangka disertai oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain persatuan-persatuan belia dari seluruh negeri.
Jelasnya, program itu akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut menyampaikan beberapa anugerah sempena sambutan berkenaan.
“Sempena program ini, pihak jabatan juga menganjurkan beberapa aktiviti yang bermula esok dan diisi dengan pelbagai program pada hari berikutnya untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Belia Negara 2011 peringkat negeri,” katanya.
Menurut Baharuddin, pelbagai pameran juga akan diadakan melibatkan penyertaan agensi-agensi kerajaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata, orang ramai khususnya golongan belia dijemput untuk bersama-sama meraikan sambutan itu.
“Sambutan Hari Belia Negara dilihat sebagai satu pengiktirafan kerajaan kepada pemimpin belia, penggerak belia, rakan kongsi serta agensi berperanan dalam pembangunan belia,” jelas beliau.