MAJLIS BELIA MALAYSIA

Tanam 2,030 anak  pokok bakau! MBM, JCIM, Islamic Relief Malaysia sahut usaha pulihara alam sekitar!

Dalam usaha memulihara alam sekitar dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), Majlis Belia Malaysia (MBM), JCI Kuala Lumpur Mandarin (JCIKLM) dan Islamic Relief (IR) Malaysia serta beberapa pertubuhan belia telah berganding bahu menjalankan Program Penanaman Bakau di Pantai Kelanang, Banting, Selangor. 

Program ini telah berjaya dilaksanakan dan sebanyak 2,030 anak pokok bakau ditanam di kawasan pesisir pantai. 

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengatasi kesan perubahan iklim dan melindungi habitat di kawasan pesisir pantai. 

Pokok bakau yang ditanam akan membantu dalam mengurangkan hakisan pantai selain menyediakan habitat kepada pelbagai spesies marin serta menyerap karbon dioksida daripada atmosfera. 

Penanaman anak pokok bakau ini diadakan dalam satu program khas melibatkan sukarelawan daripada organisasi terlibat bersama ahli komuniti setempat. 

Acara tersebut mendapat sambutan positif dan menjadi platform bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat. 

Setiausaha Agung MBM, Hasnul Haniff Harun menyatakan program ini adalah manifestasi komitmen mereka terhadap matlamat mampan dan kesejahteraan alam sekitar. 

“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan JCI Kuala Lumpur Mandarin dan Islamic Relief Malaysia dalam program ini. 

“Kami berharap program ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada ekosistem tetapi juga menggalakkan lebih ramai individu untuk terlibat dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar,” ujarnya. 

Sementara itu, Presiden JCI Kuala Lumpur Mandarin, Jim Lee turut menyatakan kegembiraan beliau atas kejayaan program ini.

“Sebagai salah satu aktiviti tahunan persatuan, selepas 300 hari perancangan dan pelaksanaan yang teliti, 4 rancangan penanaman dan mesyuarat penyelarasan yang tidak terkira banyaknya, ia akhirnya berjaya dengan sempurna. 

“Kempen ini bukan sahaja disepadukan dengan matlamat pembangunan mampan yang lain tetapi juga mengambil kira kemampanan ekonomi, sosial dan alam sekitar yang komprehensif.” 

Islamic Relief Malaysia juga menyatakan kepentingan program ini dalam mengukuhkan usaha pemuliharaan alam sekitar. 

“Kami percaya bahawa setiap langkah kecil dalam memelihara bumi adalah langkah besar untuk masa depan. Kami akan terus menyokong inisiatif seperti ini yang memberi impak positif kepada alam sekitar dan masyarakat,” kata Pengurus Programnya, Nas.

Program Penanaman Bakau di  Pantai Kelanang adalah contoh kejayaan kolaborasi antara NGO, organisasi masyarakat dan sukarelawan dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs). 

Dengan lebih banyak inisiatif seperti ini diharapkan kita dapat bersama-sama memulihara bumi untuk generasi akan datang. – KitaReporters/Kenyataan Media

Artikel penuh :

https://kitareporters.com/teknologi/pmbk5OQxez?fbclid=IwY2xjawEYNB9leHRuA2FlbQIxMQABHbBUrFZXLDBcwx9kEip3_e5RPVtrtE1J2UT8ctHd778fcz_KJnOFELm0cQ_aem_TImRsuC3R9xiqGElaOPL8g

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »