DURIAN TUNGGAL 27 Okt – Minggu lepas telah berlangsung Program Sekolah Sukarelawan MYVOC dikelolakan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Universiti Teknikal Melaka (UTEM) selama 2 hari bertempat di UTEM, Durian Tunggal.
Peserta yang menyertai program ini terdiri daripada pelajar-pelajar universiti dan sukarelawan GPMS.
Antara slot yang dikongsikan ialah asas pertolongan cemas, pengendalian radio amatur, simulasi dan tatacara pengurusan bencana, bantuan sokongan OKU dan bantuan psikologi.
Wakil penceramah yang terlibat antaranya daripada Rahmah Support Team, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Malaysia Relief Agency dan Persatuan Radio Amatur.
Inisiatif ini dibawakan oleh Jawatankuasa Kesukarelaan dan Belia Mahir MBM di bawah segmen Rakan Muda, Rakan Prihatin Kementerian Belia dan Sukan sebagai langkah pendedahan dan persediaan menghadapi bencana melibatkan beberapa langkah utama seperti latihan dan pendidikan, penglibatan komuniti, pengumpulan sumber, pelan tindakan, simulasi dan latihan praktikal.
Dengan langkah-langkah ini, MYVOC MBM berusaha untuk membentuk komuniti yang lebih bersedia dan responsif dalam menghadapi sebarang bentuk bencana.
Tahniah Sdr. Firdaus Baharuddin, Ahli Majlis Tertinggi GPMS dan semua urus setia serta sukarelawan yang melaksanakan program ini dengan jayanya.
Semoga dengan pelaksanaan program ini dapat menambah nilai kepada sukarelawan belia dan menjadikan MYVOC sentiasa bersiapsiaga dalam apa jua bencana.
Hadir sama, Exco MBM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kesukarelaan dan Belia Mahir, Sdr. Ibnu Rasyeed Mat Isa.