KUALA LUMPUR 4 Sept. – Teguran serta peringatan oleh Sultan Perak dan Sultan Selangor berhubung nasib orang Melayu perlu dipandang serius.
Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, semua pihak tidak kira sama ada rakyat, tokoh korporat mahupun ahli politik perlu mengambil peringatan daripada teguran tersebut kerana ia cukup kritikal dalam menentukan nasib masa depan orang Melayu.
Katanya, teguran berterusan Sultan Perak dan Sultan Selangor mengenai perkara itu mencerminkan penelitian mendalam baginda berdua terhadap nasib orang Melayu di negara ini sebelum menitahkan mereka supaya bersatu kerana khuatir situasi perpecahan yang semakin kronik.
“Kalau kita lihat kepada situasi orang Melayu sekarang ini, saya tidak hairan mengapa Sultan Perak dan Sultan Selangor menitahkan kita supaya bersatu kerana pemimpin-pemimpin parti politik Melayu sendiri bertelagah sesama sendiri, inikan pula rakyat.
“Sepatutnya golongan pemimpin yang menjadi contoh kepada rakyat. Kalau mereka terus bertelagah sesama sendiri, saya percaya orang Melayu semakin sukar untuk bersatu,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kebelakangan ini sering mengingatkan orang Melayu agar bersatu mempertahankan agama dan bangsa daripada anasir yang cuba mencabar institusi Islam.
Sementara itu, Setiausaha Satu Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM), Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, sikap orang Melayu yang hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata merupakan kelemahan yang kini dipergunakan oleh kaum lain.
“Orang Melayu perlu segera sedar dan jangan hanya bergantung kepada kerajaan kerana ia merupakan kelemahan ketara kita. Sebaliknya kita perlulah bersatu dan mengatur strategi yang jitu untuk mempertahankan bangsa dan agama,” tegasnya.
Bagi Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar pula, titah Sultan Perak serta Sultan Selangor itu wajib dipatuhi oleh orang Melayu.
“Sultan merupakan ketua agama dan juga ketua orang Melayu di Malaysia. Jadi adalah wajib bagi kita menuruti perintah baginda untuk kebaikan bangsa kita,” katanya.