Negara sedang berada dalam fasa akhir Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat. Ini bermakna rata-rata aktiviti berasaskan ekonomi telahpun mula beroperasi dan para pekerja telah mula bekerja mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.
Majlis Belia Malaysia mengambil maklum berkenaan ketegangan antara Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). Kedua-dua pemegang taruh bagi entiti di bawah pertubuhan mereka kini dilihat saling berbalas kenyataan berkait isu pekerjaan pasca Covid-19. MEF menyatakan majikan berhak memberhentikan pekerja yang tidak lapor diri untuk bertugas manakala MTUC bertegas Seksyen 15c(2) Akta Pekerja 1955 tidak terpakai dalam keadaan semasa.
Tambahan pula, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) juga berhadapan dengan isu yang sama di mana pihak kementerian dan jabatan masih lagi tidak dapat menyediakan platform jadual bekerja dan waktu anjal. Hal ini menyukarkan pasangan yang bekerja dalam sektor awam dalam keadaan pusat asuhan kanak-kanak dan sekolah masih tutup.
Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan ini menyeru agar pihak Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Kerja agar giat beroperasi dalam menyediakan solusi berkenaan isu berbangkit. Kami juga bersedia untuk menjadi pendamai antara persatuan majikan dan kesatuan pekerja demi memastikan ekosistem antara majikan dan pekerja terus harmoni. Jika pemegang taruh majikan dan pekerja tidak mencapai kata sepakat, maka masyarakat secara umumnya akan kehilangan ruang untuk mendapatkan pembelaan.
MBM melalui Jawatankuasa Khas Tindakan Ekonomi JAKTEM 2020 mengambil maklum melalui survei yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi termasuklah oleh JAKTEM sendiri. Dapatan utama adalah sangat membimbangkan dan dikhuatiri jika tidak ditangani segera, akan mewujudkan rantaian permasalahan ekonomi negara yang lebih merudum.
Rata-rata belia yang kehilangan pekerjaan kerana status jawatan adalah kontrak dan mereka tidak mempunyai sebarang dokumen yang mengabsahkan mereka di bawah akta pekerja. Walaubagaimanapun, JAKTEM menerima makluman berkenaan program pengekalan pekerjaan oleh PERKESO telah dihentikan kerana ketiadaan dana. Hal ini juga telah memberikan implikasi negatif kepada majikan-majikan dalam kalangan belia yang mempunyai sejumlah pekerja yang perlu dikekalkan melalui Program Pengekalan Pekerjaan.
Bertitik tolak dari hal ini, JAKTEM membuka kaunter aduan kepada rakan-rakan belia yang kehilangan pekerjaan ataupun majikan dari golongan belia dan masih belum membuat aduan kepada mana-mana pihak, boleh berbuat demikian berserta dokumen lampiran di link berikut:
Dapatan-dapatan dokumen dan aduan akan diserahkan kepada Kementerian Sumber Manusia dan agensi berkait untuk tindakan dalam sesi pertemuan MBM-KSM dalam masa terdekat.
JAWATANKUASA KHAS TINDAKAN EKONOMI
MAJLIS BELIA MALAYSIA (JAKTEM)
Bertarikh: 3 Jun 2020