MAJLIS BELIA MALAYSIA

Sasuke jadi tarikan baru

PUTRAJAYA 17 Feb. – Rancangan realiti sukan lasak Jepun, Sasuke edisi tempatan yang diberi nama Jaguh Malaysia akan menjadi acara tarikan baru sempena Hari Belia Negara peringkat kebangsaan yang akan berlangsung dari 27 hingga 29 Mei depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, rancangan sukan ekstrem televisyen yang diterbitkan oleh Tokyo Broadcast System versi tempatan itu dianjurkan buat pertama kalinya untuk menggalakkan belia menceburi aktiviti lasak.

Menurutnya, program realiti sukan lasak itu akan melibatkan 100 peserta tempatan yang melalui dua peringkat halangan mencabar.

“Pengenalan program realiti seumpama itu di Putrajaya membolehkan Jaguh Malaysia yang kali pertama diadakan di sini menjadi identiti baru kebanggaan negara.

“Secara tidak langsung, karnival Hari Belia Negara pada tahun ini akan diperkenalkan pada peringkat antarabangsa dan menjadi tumpuan dunia apabila disiarkan oleh syarikat televisyen Jepun itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penghargaan Penganjur kepada pihak swasta dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pra pelancaran lagu tema Hari Belia Negara di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini hari ini.

Setakat ini sejumlah 463 agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan minat untuk menyertai acara itu dalam bentuk penajaan dan sokongan moral.

Pelancaran Himpunan Sejuta Belia pada 28 Mei itu akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahmad Shabery berkata, beliau menggalakkan lebih banyak pertubuhan sukarelawan yang disertai belia melibatkan diri sepanjang hari penganjuran karnival itu nanti.

“Penglibatan itu secara tidak langsung membolehkan golongan belia terlibat secara aktif dalam kegiatan kesukarelawanan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 30,000 hingga 50,000 belia akan berkampung di Putrajaya sempena penganjuran Hari Belia Negara nanti.

“Terima kasih diucapkan kepada pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) kerana menyediakan kemudahan seperti tandas dan bilik air bergerak untuk kegunaan ramai,” katanya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »