PUTRAJAYA 11 Feb. – Kementerian Belia dan Sukan yakin dapat menarik kehadiran sejuta belia pada sambutan Hari Belia Negara peringkat kebangsaan yang berlangsung dari 27 hingga 29 Mei depan.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sambutan tersebut akan dibuat dalam skala besar melibatkan lebih 200 aktiviti berbanding hanya 88 aktiviti tahun lalu.
Beliau berkata, sambutan itu juga membabitkan penglibatan belia sebagai penganjur, petugas dan sukarelawan.
“Sambutan kali ini mempunyai kelainan ketara kerana kami menyahut cabaran untuk mengumpulkan sejuta belia di sini sepanjang tiga hari sambutan itu diadakan berbanding kehadiran 250,000 belia pada tahun lalu.
“Segmen ‘Sejuta Peluang, Seribu Keriangan’ umpamanya menyediakan lebih 200 aktiviti berbentuk pertandingan, kerohanian dan keilmuan selain persembahan dan pertunjukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Bilik Sekretariat dan Kalendar Acara Sambutan Hari Belia Negara 2011 di sini hari ini.
Setakat ini, 463 agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan minat untuk menyertai acara itu dalam bentuk penajaan dan sokongan moral.
Pada majlis sama, beliau melepaskan Konvoi Jelajah Negara bagi mempromosikan sambutan itu dan merasmikan laman web Hari Belia Negara 2011.
Ahmad Shabery turut menyaksikan pelepasan kain rentang gergasi Hari Belia Negara 2011 di bangunan kementerian itu sebagai simbolik bermulanya sambutan itu.
Beliau meminta golongan belia menggunakan kesempatan selama tiga hari itu untuk meluahkan perasaan, kehendak, harapan dan aspirasi mereka.
“Kita mahu menjadikannya sebagai satu jenama kepada golongan belia supaya bila sebut Hari Belia Negara ia hari untuk mereka,” katanya.
Beliau berkata, kemuncak sambutan itu adalah pelancaran Himpunan Sejuta Belia pada 28 Mei ini yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Pada majlis sama, Perdana Menteri akan mengisytiharkan 2012 sebagai Tahun Belia Negara,” katanya