Oleh : Manndzri Hj. Nasib
Pengerusi, Biro Industri, Asas Tani & Pertanian MBM
RESPON
1. Penghargaan dan terima kasih kepada YB. Menteri Kerja Raya, Datuk Fadilah Yusof atas seruan beliau kepada generasi belia negara supaya merebut peluang membina masa depan sebagai pelatih Akademi Binaan Malaysia (ABM). Majlis Belia Malaysia (MBM) maklum bahawa sepanjang sejarah kewujudan akademi ini telah melahir tenaga kerja mahir juga usahawan dalam industri binaan.
2. Kewujudan ABM semacam member peluang ke dua kepada belia yang tidak berpeluang cemerlang dalam akademik. Justeru, merekalah yang terpilih untuk cemerlang dalam bidang kemahiran. Memetik kata-kata YB. Menteri Kerja Raya bahawa;
“Negara kita kini kekurangan tenaga kerja mahir dan separa mahir di dalam sektor ini (binaan). Maka ABM diwujudkan di bawah Lembaga Pembangunan Industri Binaan Malaysia (CIDB) bagi memberi latihan kepada tenaga kerja pembinaan di Malaysia samada yang baru atau sudah bekerja” – Utusan Malaysia, Dalam Negeri, muka surat 28, 25 Julai 2013 (Jumaat).
3. Komitmen dan fokus YB. Menteri Kerja Raya dalam melihat belia sebagai aset negara adalah satu langkah terpuji dan wajar dicontohi oleh Kementerian-Kementerian lain supaya kesediaan dan kesiagaan negara bangsa dalam mendepani cabaran masa depan lebih berdaya jaya. Meletakkan belia atau generasi muda sebagai pertimbangan setiap kali menentu dasar atau membuat keputusan negara, begitu juga sesebuah Kementerian adalah sesuatu yang berbaloi. Kita tahu, ada Kementerian yang berkait langsung dengan belia/generasi muda seperti Kementerian Belia & Sukan, Pelajaran, Sumber Manusia dan lainnya. Namun, memperkukuh pendirian terhadap fokus belia negara adalah langkah yang mengangkat jiwa generasi muda negara bahawa mereka penting dan didahulukan.
BELIA & INDUSTRI BINAAN
4. Menurut fakta perangkaan, sejak 2001 sehingga Jun 2013, seramai 78, 026 belia telah mendapat latihan dan pengiktirafan daripada ABM. Angka ini mampu dilonjakkan lagi sekiranya, kolaborasi antara Kementerian dan Majlis Belia Malaysia dapat dibina kukuh terutamanya bantuan dari segi promosi sejak dari peringkat sekolah menengah lagi.
5. MBM melihat positif usaha Kementerian Kerja Raya dan bergarap dengan sinergi yang dapat dibina akan memudahkan usaha menambah angka pelatih ABM atas matlamat memenuhi tuntutan pembangunan negara. MBM juga melihat perkembangan ini sebagai jalan keluar kepada mengurangkan angka pengangguran dalam kalangan belia dan mewujudkan peluang kepada belia membina masa depan yang lebih baik.
6. Tawaran MBM ini sah sepanjang masa dan Biro Industri, Asas Tani & Pertanian MBM akan mengunjungi Kementerian Kerja Raya dalam tempoh masa terdekat bagi menyatakan hasrat membantu usaha promosi ABM dan bagi MBM membina jalinan jalan perhubungan yang lebih pantas melalui 41 Badan Gabungan MBM yang mencakupi Majlis-Majlis Belia Negeri dan Daerah.
WAWASAN KEBANGSAAN
7. Wawasan 2020 semakin hampir. Jaya gagal cita-cita kebangsaan ini adalah di atas jemala kita semua. Sebagai rakyat Malaysia, MBM juga mahu melihat kejayaan di setiap garis masa menujui Tahun 2020. Belia sentiasa menjadi topik utama dalam perbincangan soal konten dan cabaran Wawasan 2020 itu.
8. Harapannya, semoga langkah seumpama Kementeria Kerja Raya ini di sebar luas agar kesungguhan Kerajaan membangun belia dirasai sendiri oleh belia itu. PRU13 telah berlalu, menanti hadap sebelum tahun 2020 sekurang-kurangnya 2 kali lagi Pilihan Raya Umum.
9. Kita mahu Kerajaan yang mecetus idea 2020 menunaikan janji-janji cita-cita murni kebangsaan yang disemai sejak lama. Cuma, kami bimbang andai pengendalian tahap kepuasaan kepada pengundi muda tidak dikendali baik, menanti di pinggir tahun 2020 itu cabaran yang lebih besar dan semestinya andai focus serius seperti Kementerian Kerja Raya ini dapat diperbanyak dan diderap sama oleh Kementerian-Kementerian lain, kita akan bersama-sama menjengah fajar sidik 1 Januari 2020 dengan sejahtera dan bersama Kerajaan pencetus Wawasan 2020 dan rakyat dengan harapan-harapan kegemilangan tamadun pada tahun 2020.
10. MBM serahkan kepada Kerajaan memutuskan. Apapun, usaha Kementerian Kerja Raya wajar diberi pujian. Semoga lebih banyak Kementerian tampil menyuarakan; “Kami Cakna Belia” sebagaimana yang dihasratkan oleh YAB. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri kita. Wallahua’alam.