Kuala Lumpur, 17 Feb 2015 – Rakan Muda yang diterajui oleh Kementerian Belia dan Sukan menjadi sebuah platform dimana golongan belia negara
ini dapat menyerlahkan bakat dan potensi mereka ke satu tahap yang lebih tinggi. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata belia di negara ini perlu diperkembangkan lagi bakat mereka mengikut minat masing-masing.
Beliau dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Semula Rakan Muda berkata program-program yang akan dijalankan oleh Rakan Muda akan lebih bersifat mendekati minat anak muda bandar dan luar bandar dan seterusnya mengembangkan minat dan bakat mereka sehingga dapat dikomersialkan dengan bantuan daripada Kementerian Belia dan Sukan sendiri.
Majlis yang dihadiri oleh ramai anak muda yang berbakat dalam bidang masing-masing ini menekankan beberapa elemen penting di dalam penjenamaan semula Rakan Muda. Antaranya adalah aksesibiliti yang lebih meluas dan mudah hasil Rakan Muda yang lebih digital melalui laman web Rakan muda yang baru dimana ia menjadi medium untuk mendapatkan bantuan bagi mengembangkan bakat mereka selain dapat membina rangkaian di kalangan satu sama lain.
Selain itu, Rakan Muda akan berfungsi sebagai pemudahcara yang dimana soal bergantung harap segalanya kepada pihak kerajaan dalam penganjuran sesebuah aktiviti dan program itu sudah berakhir. Rakan Muda akan bertindak sebagai organisasi yang akan memberi bantuan kepada mana-mana ahli yang mempunyai bakat bagi mengembangkan lagi bakat mereka.
Majlis ini turut memperlihatkan logo baru Rakan Muda. Turut hadir ke majlis ini adalah wakil daripada Majlis Belia Malaysia (MBM) yang diketuai oleh Naib Presiden MBM, Sdr. Khairul Annuar Mansor, Setiausaha Agung, Sdr. Ahmad Saparudin Yusup dan Exco MBM, Sdr. Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz.