KUALA LUMPUR 13 Mac – Skim pengambilan golongan siswazah yang mempunyai sekurang-kurangnya diploma untuk menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pangkat Sarjan dilihat mampu melahirkan lebih ramai belia yang berdisiplin dalam berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa), Mohd. Jamil Mohd. Hassan berkata, peluang menikmati skim kenaikan pangkat dalam tempoh lima tahun berbanding 10 hingga 15 tahun sebelum ini dapat menarik minat golongan tersebut untuk menyumbang tenaga bagi menjamin keselamatan negara.
“Saya yakin tawaran ini dapat memperkasakan pasukan polis kerana jenayah kini melibatkan kes-kes rumit yang memerlukan generasi lebih bijak dalam teknologi maklumat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas pengumuman Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar semalam bahawa golongan siswazah yang mempunyai sekurang-kurangnya diploma berpeluang untuk menyertai PDRM dengan pangkat Sarjan tidak lama lagi.
Jelas Mohd. Jamil, kerjaya sebagai polis dapat mematangkan diri golongan tersebut serta menyerlahkan keperibadian baru mereka sebagai seorang yang bertanggungjawab, amanah dan berdisiplin.
Katanya, Respa menyokong sepenuhnya pendekatan terbaru PDRM itu dan berharap tawaran tersebut tidak disia-siakan kerana kerjaya tersebut dapat meningkatkan prestasi mental dan fizikal mereka.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee pula menyarankan belia di negara ini supaya merebut peluang tersebut kerana kerjaya tersebut menjanjikan jaminan masa depan mereka.
Jelasnya, pihak PDRM juga akan mendapat manfaat daripada pendekatan tersebut kerana golongan siswazah merupakan golongan yang berilmu dan berkeupayaan dalam meningkatkan lagi prestasi PDRM.
“Saya lihat tawaran ini mampu membudayakan penerapan nilai patriotisme di kalangan golongan tersebut untuk terus menyumbang bakti kepada agama, bangsa dan negara,” ujarnya.