MAJLIS BELIA MALAYSIA

PKP 3.0: MBM gesa bantuan tambahan

Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) akhirnya dilaksanakan oleh kerajaan sepertimana kehendak majoriti masyarakat. Ianya susulan gelombang penyebaran virus yang semakin membimbangkan dengan angka-angka jangkitan harian begitu menakutkan. Sepertimana kebiasaan siri PKP sebelum ini, PKP 3.0 ini juga didatangkan sekali dengan pakej rangsangan ekonomi baru, yang dinamakan PEMERKASA+. Ianya kesinambungan daripada pakej PEMERKASA yang diumum Mac lalu, dalam memberi fokus membantu sektor yang masih terkesan akibat penularan pandemik Covid-19. Majlis Belia Malaysia (MBM) mewakili belia seluruh negara mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin terhadap keprihatinan yang diberikan.

Namun, MBM melihat terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu diberi perhatian terhadap pakej PEMERKASA+ ini terutamanya kepada golongan sasaran seperti golongan belia pertengahan, pelajar, sukarelawan dan pekerja belia.

MBM memohon pertimbangan pihak kerajaan khususnya Kementerian Kewangan Malaysia dalam memberikan lanjutan moratorium secara automatik kepada semua golongan termasuk golongan M40. Tidak dinafikan pemberian moratorium sangat membantu dalam mengurangkan kos sara hidup dalam keadaan ekonomi rakyat yang semakin mendesak ini, selain dapat membantu golongan terjejas dengan potongan gaji oleh pihak majikan akibat penutupan operasi syarikat bukan perkhidmatan perlu. Cadangan ini perlu dipertimbangkan kerajaan sebagai inisiatif tambahan sebagai bantuan kepada rakyat yang terjejas pendapatan mengambil kira kesan terhadap ekonomi sewaktu pelaksanaan PKP 3.0.

Turut diumumkan di dalam PEMERKASA+ adalah pemberian Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM1,500. Jumlah ini perlu dikaji semula kerana peniaga kecil perlu menampung kos berniaga yang agak besar, tidak termasuk upah pekerja, kos bahan mentah yang sudah dibeli dan lain-lain. Dalam hal ini, MBM mencadangkan agar GKP dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM3,000. Oleh itu, lebih ramai peniaga mikro yang terjejas akan mendapat manfaat daripada pakej ini.

Secara jujurnya, jumlah peruntukan RM2.1 bilion bagi menambah kadar program Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR adalah tidak realistik. Dengan kadar hanya RM100 sahaja diterima oleh individu bujang, jumlah ini hanya mengundang ‘ketawa kecil’ oleh banyak pihak. Berilah dengan kadar yang lebih baik dalam membantu rakyat marhaen, iaitu sekurang-kurangnya RM2,000 kepada mereka yang berpendapatan rendah, RM1,000 kepada berpendapatan sederhana dan RM500 kepada individu bujang. Mereka ini juga yang akan merancakkan kembali ekonomi negara di masa akan datang.

Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada golongan M40 yang terjejas ekoran pelaksanaan PKP 3.0 sehingga mungkin menjerumuskan status mereka menjadi B40. Ada kemungkinan data golongan M40 sebelum ini tidak dikemaskini. Perkara yang membimbangkan adalah golongan ini akan terjerumus ke kategori B40 kerana kemerosotan perniagaan dan wang simpanan telah habis. Mereka boleh dikategorikan sebagai golongan berisiko tinggi kerana kebiasannya golongan ini terikat dengan banyak perjanjian kewangan dengan pihak bank atau dalam Bahasa lebih mudah fahami, hutang bank.

Arahan melaksanakan PdPR merupakan satu langkah wajar memandangkan situasi pandemik Covid-19 terus meningkat, bagaimanapun harus diiringi dengan bantuan-bantuan kemudahan PdPR untuk murid dan guru yang tidak mempunyai kelengkapan. Bantuan komputer riba, data internet percuma bagi pelajar dan mahasiswa yang memerlukan harus disegerakan. Langkah ini bagi memastikan proses PdPR memberi keberkesanan yang maksimum kepada semua murid dan guru.

MBM juga mencadangkan agar diberikan bantuan subsidi bil air dan elektrik oleh pihak kerajaan sepertimana yang pernah dinikmati oleh rakyat Negeri Sabah semasa PKP 1.0 lalu. Dicadangkan juga agar diberikan subsidi insurans kenderaan bermotor kepada golongan belia dan juga B40. Ianya sebagai usaha meringankan beban dan kos sara hidup rakyat yang terjejas berikutan penularan jangkitan wabak itu.

Selain itu, syarikat telekomunikasi dan televisyen berbayar juga harus memainkan peranan dengan membuka semua siaran Astro, Unifi TV dan seumpamanya dalam tempoh PKP 3.0 bagi menguragkan kadar stress dan menjamin kesihatan mental.

MBM juga memohon pertimbangan agar diberikan kemudahan pergerakan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam membantu pihak kerajaan mengagihkan bantuan dan barangan termasuk perkhidmatan perlu seperti perubatan, sanitasi percuma dan lain-lain. MBM dan rakan NGO lain tidak pernah jemu dalam menjadi support system kepada kerajaan dalam mendekati masyarakat terutama dalam menjalankan misi-misi bantuan dan kesukarelaan. Oleh yang demikian, sokongan daripada pihak kerajaan juga amat diperlukan terutama dalam memberikan kemudahan pergerakan untuk menyelaras bantuan-bantuan yang diperlukan dalam tempoh sukar ini.

MBM dalam masa sama amat menyambut baik Program Subsidi Upah (PSU) yang dilanjutkan selama sebulan. Lanjutan inisiatif tersebut dijangka memberi manfaat kepada 2.5 juta pekerja dan lebih 200,000 majikan. Program tersebut sebelum ini berjaya menyelamatkan lebih 2.2 juta pekerjaan.

WAN MOHD HUSNI ABDULLAH

Ketua Penerangan

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 2 Jun 2021

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »