Putrajaya, 7 Jan 2013 – Dijangkakan tahun 2014 akan menjadi tahun yang paling mencabar kepada rakyat Malaysia khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana disebabkan kos sara hidup yang semakin meningkat akibat peningkatan harga beberapa barangan keperluan. Bagi mengurangkan beban kenaikan ini, kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah penjimatan di semua kementerian dan agensi di bawahnya. Walaupun begitu, Majlis Belia Malaysia (MBM) yang memayungi 39 buah badan gabungan tidak boleh menjadikan alasan tersebut untuk mengurangkan program-program pembangunan belia yang menjadi asas pembentukan belia yang cemerlang.
Bagi mencari resolusi yang terbaik dalam menghadapi tahun 2014, MBM telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB. Khairy Jamaluddin di pejabatnya dengan kehadiran Ahli Dewan Tertinggi MBM dan Exco MBM yang diketuai sendiri oleh Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.
Pertemuan yang berlangsung hampir dua jam ini, antara lain membincangkan beberapa permasalahan belia di samping bertukar-tukar pandangan mengenai hala tuju serta memperkasakan persatuan belia. Pertemuan ini juga turut menyentuh isu-isu pentadbiran persatuan, program lepasan SPM, program pemantapan belia serta penggunaan kompleks Belia dan Sukan untuk kegunaan para belia.