MAJLIS BELIA MALAYSIA

Persiapan Hari Belia musnah

PETALING JAYA 10 Mei – Majlis Belia Selangor (MBS) membidas tindakan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) merobohkan empat buah khemah untuk sambutan Hari Belia Selangor di tapak utama, medan letak kereta PJS2D/16, Taman Medan di sini petang ini.

Lebih mengecewakan tindakan tidak bertanggungjawab itu didakwa dilakukan atas arahan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Taman Medan, Haniza Talha.

Timbalan Presiden Majlis Belia Selangor merangkap Pengerusi Majlis Belia Daerah Petaling, Badrul Hisham Badrudin berkata, kesemua khemah itu bakal digunakan untuk program Sambutan Hari Belia Selangor yang bermula esok hingga Ahad ini.

Beliau berkata, sebelum ini pihak majlis perbandaran di daerah Petaling; Petaling Jaya, Subang dan Shah Alam telah memberi komitmen penuh dari segi logistik.

Bagaimanapun ujar beliau, seramai 10 orang penguat kuasa tiba-tiba datang untuk memantau dan merobohkan struktur khemah yang telah siap dipasang kira-kira pukul 4 petang ini.

“Atur kerja yang telah dimulakan sejak awal tahun musnah apabila Haniza selaku ahli majlis mengarahkan penguat kuasa MPSJ merobohkan khemah-khemah yang telah siap dipasang.

“Tindakan tersebut bermakna sebanyak 42 program yang telah diatur musnah dan sia-sia.

“Sebelum ini tiada masalah kerjasama kami bersama pihak Majlis, tetapi pada hari ini satu perkara yang amat memilukan dan memalukan telah dilakukan,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi di sini hari ini.

Badrul Hisham mendakwa, selain MPSJ, pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga telah diarahkan oleh Haniza menurunkan bunting dan banner yang sudah ada permit dan pembayaran.

“Sehingga kini kami tidak tahu mengapa MPSJ merobohkan khemah-khemah ini, tiada sebab diberikan kepada kami.

“Bila kami minta surat bertulis penguat kuasa MPSJ hanya membisu. ‘arahan orang atas katanya’,” katanya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »