JERANTUT 29 Sept. – Kepimpinan belia di peringkat daerah diminta lebih kerap turun padang dengan mengadakan pelbagai kegiatan di luar bandar supaya penduduk dan golongan muda mengenali mereka secara lebih dekat.
Pengerusi Gerakan Belia 4B negeri, Ahmad Daniar Ismail berkata, kepimpinan belia daerah perlu mengikis status elit sebaliknya turun ke akar umbi mendengar masalah penduduk dan persatuan belia kampung.
“Program turun padang juga menjadi strategi merapatkan jurang antara golongan muda dengan kepimpinan peringkat kampung seperti jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).
“Ia antara pendekatan kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam kerangka mengeratkan hubungan dan melaksanakan kegiatan yang bermanfaat untuk golongan muda,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Majlis Belia Lipis (MBL), Gerakan Belia 4B Cameron Highlands dengan kerjasama Pemuda UMNO Cameron Highlands dan JKKK Kampung Keledek, dekat sini kelmarin.
Hadir sama, Pegawai Belia dan Sukan Lipis, Hafizul Abdul Hamid, Ketua UMNO Cawangan Keledek, Ahmad Bustamam Ismail dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Keledek, Amirul Zaimi Ahmad.
Ahmad Daniar yang juga Pengerusi MBL menjelaskan, pertemuan dalam majlis sambutan perayaan dan kegiatan secara berkala membolehkan pemimpin MBL dan NGO lain menerapkan dasar kerajaan dan menyuntik semangat kesukarelaan di kalangan belia luar bandar.
Beliau berkata, majlis sambutan berkenaan yang pertama kali diadakan di luar bandar merupakan antara pendekatan untuk mengembalikan keyakinan golongan muda terhadap peranan NGO dalam kerajaan.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Keledek, Ahmad Salleh memberitahu, penglibatan NGO pada majlis berkenaan dapat memperkukuhkan hubungan antara kepimpinan di peringkat kampung dengan MBL.
“Pendekatan bersepadu menerusi majlis ini menzahirkan nilai dan sikap kerjasama serta toleransi yang wujud antara NGO di peringkat kampung dan bandar sesuai dengan semangat 1Malaysia,” katanya.
Tambahnya, majlis berkenaan menjalinkan perkongsian idea mengenai sesuatu perkara yang membolehkan pengurusan NGO lebih mantap untuk membantu kerajaan dalam pembangunan modal insan dan ekonomi di kalangan belia luar bandar