Kenyataan media Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri di Pejabat Perdana Menteri (Bahagian Parlimen dan Undang-Undang) dan kenyataan sambutan bersama Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang di-Pertua Dewan Negara, YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim berhubung dengan pembaharuan Parlimen adalah amalan baik untuk merealisasikan agenda pengasingan kuasa.
Usaha cadangan pembaharuan undang-undang perkhidmatan Parlimen dan beberapa usaha lain berkaitan pembaharuan Parlimen merupakan langkah tepat ke arah menjadikan Parlimen bebas daripada kuasa eksekutif berdasarkan teori pengasingan kuasa. Ia akan menjadikan Parlimen benar-benar menjadi badan semak dan imbang kepada badan eksekutif untuk menjaga kepentingan rakyat. Kebanyakkan negara yang mengiktiraf prinsip autonomi secara rasmi melalui peruntukkan dalam perlembagaan.
Justeru Majlis Belia Malaysia (MBM) mendokong inisiatif untuk memperkenalkan semula Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen untuk memberi kebebasan kepada Parlimen selaras dengan apa yang telah diambil oleh institusi parlimen di negara-negara lain. Ini berdasarkan Artikel 62 (Prosedur Parlimen) dan Artikel 63 (Hak Istimewa Parlimen) di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Laporan Kajian Penyelidikan Berhubung Mengembalikan Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen di Malaysia yang baru diterbitkan oleh Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM) sebagai contoh adalah dokumen signifikan untuk dirujuk bagi memastikan ciri-ciri sebuah Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen adalah menepati piawaian antarabangsa dan pengalaman di beberapa institusi di negara-negara maju seperti di Australia, Kanada dan United Kingdom yang perlu dijadikan panduan.
MBM yakin ini merupakan langkah pembaharuan awal positif yang diambil oleh Kerajaan yang akan membuka jalan kepada pembaharuan yang lain seperti akta anti lompat parti, akta pembiayaan politik dan pelaksanaan Undi 18.
JUFITRI JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 4 September 2021