MAJLIS BELIA MALAYSIA

Pastikan akta baharu bukan AUKU dalam wajah berbeza – MBM

KUALA LUMPUR – Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) tidak boleh sekadar menggantikan sebuah akta dengan undang-undang baharu yang masih mewarisi pendekatan dan semangat lama.

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Ahmad Farhan Rosli berkata, reformasi itu mesti menilai semula kerangka tadbir urus universiti, autonomi institusi, kebebasan akademik serta hak dan peranan mahasiswa.

Jelasnya, AUKU tidak seharusnya digantikan jika paradigma mengawal hanya diteruskan dalam wajah yang berbeza.

Sehubungan itu, tambahnya, MBM berharap penggubalan kerangka baharu dilaksanakan secara terbuka, inklusif dan bermakna dengan melibatkan mahasiswa, ahli akademik, pentadbir universiti, pertubuhan belia, masyarakat sivil serta pakar perundangan.

Ujarnya, libat urus tidak boleh bersifat simbolik, sebaliknya pandangan pemegang taruh mesti diberikan pertimbangan sewajarnya dalam pembentukan dasar dan perundangan.

“Reformasi ini perlu membawa perubahan paradigma daripada mengawal kepada memperkasa, dengan autonomi universiti, kebebasan akademik, tadbir urus yang bertanggungjawab dan suara mahasiswa sebagai teras,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, tambahnya, MBM merakamkan penghargaan kepada seluruh generasi yang telah memperjuangkan kebebasan dan pemerkasaan mahasiswa, sama ada melalui gerakan kampus, wacana intelektual, advokasi masyarakat, ruang demokrasi mahupun meja rundingan.

Menurutnya, pemansuhan AUKU bukan sekadar hadiah kepada mahasiswa, tetapi lahir daripada keberanian bersuara dan perjuangan panjang merentasi generasi.

“Ini satu pencapaian penting, tetapi bukan titik akhir perjuangan. MBM bersedia menjadi sebahagian daripada proses reformasi ini,” katanya.

Sementara itu, beliau menambah, Akta Pendidikan Tinggi yang baharu mesti membawa pembaharuan sebenar, bukan sekadar perubahan pada nama dan struktur perundangan.

Ujarnya, kejayaan reformasi bukan diukur pada pemansuhan sebuah akta, tetapi pada keberanian membina universiti yang mempercayai mahasiswa, menghormati kebebasan ilmu serta memberikan autonomi bersama tanggungjawab. – MalaysiaGazette

Artikel penuh :

https://malaysiagazette.com/2026/08/16/pastikan-akta-baharu-bukan-auku-dalam-wajah-berbeza-mbm

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »