Serting Tengah, 19 Ogos 2010 – Sdr. Osman Ahmad, merupakan salah seorang bekas Sekretariat MBM yang telah banyak menyumbangkan jasanya semasa beliau menjawat jawatan Setiausaha Kerja MBM pada tahun 1978 hingga 1986. Beliau yang kini menderita mengidap beberapa penyakit, tinggal bersama isterinya serta dua orang anak lelakinya di Desa Permai, Serting Tengah. Beliau tidak mampu lagi untuk melakukan sebarang pekerjaan untuk menyara keluarganya. Hanya isteri serta anak-anak tersayang yang selalu bersamanya setiap masa. Bagi menyara mereka sekeluarga, isterinya menjual nasi lemak dan kuih muih di depan rumahnya. Prihatin dengan nasib yang menimpa keluarganya, Presiden MBM, Sdr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee bersama Setiausaha Agung MBM dan exco, Sdr. Khairul Annuar Mansur telah mengunjungi beliau di rumahnya pada jam tiga petang. Lawatan selama sejam lebih ini banyak mengimbas kepada kisah-kisah lama semasa beliau berkhidmat dengan MBM. Sdr. Osman juga sehingga kini masih mengikuti perkembangan MBM dari masa ke masa. Bagi meringakan beban yang ditanggung oleh keluarganya, MBM telah meghulurkan sedikit sumbangan berupa barangan runcit dan beberapa barangan keperluan lain.