PUTRAJAYA 24 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka membuat pengumuman istimewa kepada golongan belia pada acara kemuncak sambutan Himpunan Sejuta Belia, Sabtu ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, golongan belia perlu menantikan dan mengambil perhatian terhadap pengumuman istimewa yang akan disampaikan nanti.
“Buat masa ini, saya sendiri pun tidak tahu apakah intipati amanat yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri ketika acara kemuncak itu nanti.
“Para belia pasti ingin mengetahui apakah pengumuman yang ingin disampaikan oleh beliau, jadi mari bersama kita nantikan,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan persiapan Himpunan Sejuta Belia di sekitar Putrajaya di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, Najib juga akan bersama-sama dengan belia menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Liga Juara-Juara Eropah antara Manchester United (Man Utd) dan Barcelona di Persiaran Perdana, Putrajaya pada 28 Mei ini.
Beliau berkata, layar skrin gergasi akan didirikan di Persiaran Perdana bagi membolehkan orang ramai turut serta menyaksikan perlawanan tersebut.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan menjelang acara kemuncak itu.
“Saya berpuas hati dengan persiapan sehingga sekarang dan kita lihat Putrajaya sedang berubah wajahnya dan ia memberi getaran baru membayangkan kekuatan tenaga orang muda yang akan berhimpun di sini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjangkakan jumlah tajaan untuk sambutan tersebut akan mencecah RM30 juta.
“Setakat ini, jumlah tajaan yang berjaya dikutip menghampiri RM23 juta, jumlah itu melepasi sasaran yang ditetapkan sebanyak RM10 juta,” katanya.
Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak penaja yang memberi sokongan kepada penganjuran Perhimpunan Sejuta Belia itu.
Antaranya, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas); Proton; Sime Darby Bhd. (Sime Darby); Naza World; KFC Holding Berhad; Telekom Malaysia Bhd. (TM) dan Celcom Axiata Bhd.(Celcom) serta beberapa syarikat penaja yang mengambil bahagian.