Amman – 15 Disember 2012 : Rombongan Majlis Belia Malaysia dengan misi Belia dan Keamanan Sejagat diteruskan lagi pada hari berikutnya dengan misi memasuki Tanah Palestin melalui laluan Jambatan Raja Hussin. Berbekalkan semangat dan kesungguhan untuk melihat sendiri keadaan masyarakat Palestin diiringi doa dan tawakkal agar perjalanan dipermudahkan
Perjalanan ke Palestin bermula seawal pagi melintasi kawasan berbukit antara sempadan Jordan dan Palestin. Perjalanan ini melintasi kawasan paling rendah di dunia (di bawah paras laut) iaitu kawasan Laut Mati dan Lembah Jordan. Suasana bertukar antara perasaan gusar dan berharap selepas sahaja memasuki kawasan pos kawalan tentera Israel. Kawalan ketat dengan ahli rombongan perlu menempuh sehingga empat pos kawalan mereka.
Setelah melalui pemeriksaan ketat pihak Isreal selama hampir tiga jam Trip Belia dan Keamanan Sejagat ini terus meneruskan perjalanan merentasi kawasan gurun pasir menuju Baitul Muqaddis. Dari kawasan pergunungan jelas kelihatan Dome of Rock berwarna keemasan yang menjadi mercu tanda Kompleks Masjidil Aqsa. Kegembiraan jelas terpapar di wajah ahli rombongan apabila dapat memasuki Kompleks Al-Aqsa melalui kawasan penempatan masyarakat muslim.
Baitul Muqqadis murupakan kawasan yang dikongsi oleh tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Ahli rombongan sempat melawat ketiga-tiga kawasan dan seterusnya melihat ritual keagamaan masing-masing. Walaupun suasana terkawal dan wujud keharmonian pada luarannya, namun bila didekati timbul rasa kemarahan akibat hilangnya kebebasan, hilangnya hak sebagai manusia dan tembok-tembok penghalang yang didirikan oleh Rejim Zionis.
Pada kesempatan ini juga rombongan sempat menyumbangkan bungkusan peralatan sekolah untuk pelajar tadika yang diserahkan kepada wakil sebuah pengendali tadika masyarakat Palestin. Sesungguhnya kesempatan berada dibumi yang diberkati ini memberi keinsafan betapa perlunya seluruh masyarakat dunia berganding bahu membina dunia yang lebih aman dan mengikhtiraf hak masyarakat Palestin untuk hidup bernegara sendiri.