Klausa belia sudah dianggap lapuk, tidak dinamik, malah dianggap gerakan belia masa kini umpama hidup segan, mati tak mahu.” Dalam konteks literal pula, ada kalanya, secara sinis kata-kata belia digunakan sebagai alat sindiran untuk anak muda yang bergaya lama, skema dan bersifat didaktif dalam hidup.
Apa pun, dalam pergerakan belia, sejarah sumbangan anak muda sejak zaman belum merdeka, tak dapat dipertikaikan. Namun realitinya pula, kita berdepan generasi yang sudah putus pertalian langsungnya dengan sejarah.
Dalam era post-moden yang kritis dan tafsiran bahawa dengan perjuangan yang besar, maka individu itu sendiri adalah sebuah institusi, apakah pergerakan belia masih relevan? Mampu berdaya saing, atau akhirnya menjadi lebih menyedihkan. Bak kata orang: jenazah tak berkubur.”
Untuk melihat isu ini, ikuti wawancara penulis ZAINAL RASHID AHMAD bersama DATUK IRMOHIZAM IBRAHIM, Presiden Majlis Belia Selangor.
UTUSAN: Bagaimana Datuk mendefinisi belia hari ini?
IRMOHIZAM: Sangat kompleks belia tidak lagi boleh didefinisikan sekadar merujuk kepada 8,188 pertubuhan berdaftar yang mewakili 2.5 juta belia negara kita. Ini kerana pada masa ini terdapat 12 juta belia di seluruh negara. Apa lagi kalau kita hendak mengaitkan peranan belia dalam menentukan corak kepimpinan negara dalam Pilihan Raya Umum 13 (PRU 13).
Bukan mudah kita menjangka bentuk pemikiran mereka, atau pola penentu keputusan parti mana yang mereka pilih. Ada 5.2 juta pengundi berusia 21 hingga 39 tahun. Dari jumlah itu, kelompok pengundi lebih muda berusia 21 hingga 29 tahun sebanyak 2.3 juta orang.
Saiz ini besar, berkelompokan mereka juga besar menjangkau kepelbagaian ruang dan komuniti. Jadi, ukuran pemikiran anak muda tidak lagi boleh diukur dengan menggunakan bentuk pemikiran yang ada dalam persatuan belia mahu pun parti. Sebab trend anak muda sekarang adalah memerhati, menilai dan buat rumusan bijak sebelum mengundi.
Apa yang boleh Datuk jangkakan pada PRU 13 ini, terutama trend mengundi di kalangan anak muda?
IRMOHIZAM: Macam saya kata tadi, tak sampai 30 peratus belia di negara ini berpersatuan. Pada PRU 13 ini, ditambah dengan sikap kompleks, kritis dan analitikal anak muda hari ini, pilihan raya kali ini bukan lagi sekadar menyediakan jentera untuk mengheret anak muda ke pusat mengundi.
Anak muda sekarang, tak semurah dan semudah itu. Kita boleh melobi, kita boleh cuba mempengaruhi tetapi akhirnya, mereka mengukur undi berdasarkan ‘tawaran paling menarik demi masa depan mereka’.
Anak muda mengatur keputusan bukan lagi dengan dogma ‘pengembalaan’ parti politik. Anak muda majoritinya hari ini bersifat lebih kritis. Mereka dipandu oleh banyak pendedahan melalui ledakan maklumat dalam media baharu yang memberi mereka peluang berinteraksi dengan anak-anak muda seluruh dunia sekali gus melihat trend berpolitik anak muda di seluruh dunia.
Barrack Obama contohnya, menang undi orang muda walaupun ketika ekonomi Amerika Syarikat (AS) mengalami ‘kemurungan’, tetapi anak muda mengundi berdasarkan perhitungan “kelangsungan dasar ekonominya’. Bagi anak muda AS, Obama sudah merangka dan melaksanakan banyak dasar dalam menangani krisis ekonomi domestik, jadi beri dia sepenggal lagi untuk meneruskan matlamat dasar-dasarnya itu. Jadi orang muda tidak memilih untuk menolak Obama, walaupun ketika negara itu dilanda krisis. Sebaliknya mereka menilai dan memberi undi berdasarkan pelan perancangan ekonomi Obama.
Apa pandangan Datuk mengenai trend pengundi muda pada PRU 13?
IRMOHIZAM: Saya fikir anak muda kita semakin matang. Yang tegar dengan parti masing-masing, sudah tentu kita tahu undinya. Tetapi PRU 13 akan ditentukan oleh pengundi di luar parti dan angka anak muda yang menjadi pengundi bukan kecil. Ada 5.2 juta pengundi muda. Lebih 3 juta pengundi Melayu, lebih sejuta pengundi Cina dan sekitar 300,000 pengundi India akan memainkan peranan penting sebagai penentu masa depan negara.
Dalam tafsiran saya berdasarkan trend kematangan pengundi muda yang mengundi bukan berdasarkan emosi, saya yakin majoriti anak muda akan memberi mandat besar kepada kerajaan yang sedia ada.
Atas faktor apa?
IRMOHIZAM: Ada beberapa faktor; pertama, tentunya karektor Perdana Menteri yang ‘mesra anak muda’. Saya fikir, sikap terbuka serta kesediaan untuk berubah, dan menghadapi cabaran besar, menjadikan beliau karektor popular. Popular kerana janji-janji yang ditepati
Najib berani memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri serta Akta Kediaman Terhad kerana janji Transformasi Politiknya . Dalam jangka masa yang pantas, Najib menyegerakan Akta Perhimpunan Aman. Karektor gentleman ini memberi pengaruh besar pada anak muda yang mahukan pemimpin yang berani untuk berubah.
Kedua, jelas sekiranya BN terus memerintah, kesinambungan kepimpinan negara akan berjalan terus dengan kerajaan sedia ada. Kesinambungan ini akan membolehkan dasar sedia ada diteruskan. Apatah lagi dalam menghadapi persekitaran ekonomi dunia sekarang. Kita perlukan kesinambungan. Ini bukan masa untuk bereksperimen dengan ‘orang baru’.
Lebih dua tahun ini, Perdana Menteri memimpin pasukan Kabinet yang mantap dalam menangani banyak isu, terutama cabaran ketidakstabilan ekonomi dunia. Dua tahun berturut-turut, pertumbuhan ekonomi kita sekitar 5 peratus. Satu angka terbaik, ketika ekonomi dunia berkembang pada 0.5 peratus sahaja , sedangkan pada 2012, ekonomi dunia berkisar sekitar 0.5 peratus sahaja.
Ketiga, faktor kestabilan politik. Pengundi muda akan melihat pada faktor ini. Bukan mudah untuk membentuk kerajaan baharu dengan tiga parti berbeza ideologi ketika negara sepatutnya terus bergerak ke hadapan. Dua tahun diuji, dan kecemerlangan dalam pengurusan ekonomi adalah merit utama Perdana Menteri akan diberi mandat untuk meneruskan usahanya.
Datuk baru saja menjadi Presiden Majlis Belia Selangor. Maaf saya bertanya masih relevankah peranan persatuan belia ini? Anak muda sekarang, terutama yang urban sering melihat istilah persatuan belia sebagai ‘geng kompang baju batik.
IRMOHIZAM: Ini cabaran utama kita sekarang. Ada selalu saya dengar komen sinis macam itu. Ada benar dan ada juga tidak benarnya. Imej ‘baju batik main kompang’ ini hanya soal penjenamaan semasa saja. Macam isu packaging saja dalam produk komersial. Kita boleh ubah packaging, tetapi islah dan pembaharuan bukan setakat packaging. Kandungan dalam packaging itu lebih utama.
Kita boleh buat persatuan belia nampak stailo ke hulu ke hilir dengan iPad dan Blackberry, tetapi itu bukan komitmen utama membina perubahan. Apabila imej sudah berubah dan nampak sangat bergaya, orang akan bertanya pula: “Dah segak bergaya macam ini nak buat apa lagi?”
Soal peranan itu lebih penting. Untuk menjadi negara maju 2020, institusi belia harus dinamis. Negara maju bukan setakat pendapatan per kapita. Ia berkait dengan mentaliti dan kualiti manusia dalam negara itu. Antara syarat negara maju, ialah tahap sivil penduduknya.
Jadi, bukan setakat tukar baju batik kepada mengepit iPad. Persatuan belia perlu melakukan transformasi minda dan bersikap kreatif ketika berinteraksi dengan anak muda. Maksud saya dalam eko-sistem sedia ada, ketika dilihat kurang popular di kalangan anak muda urban, itu bukan bererti persatuan belia kena tutup kedai.
Yang penting ialah transformasi minda; menyerap eko-sistem sedia ada dan cepat menyesuaikan diri dengan ‘cuaca’ baru anak muda masa kini. Ini kerana, sikap hidup anak muda sekarang lebih kritis tetapi dinamik. Persatuan belia perlu membuka ruang, sebagai platform aktiviti tulen untuk anak muda bergerak bukan lagi ‘kuda politik’ untuk mencapai kepentingan politik.
Apa maksud Datuk dengan transformasi minda dan keterbukaan?
IRMOHIZAM: Engagement. Minda yang sedia berinteraksi, sedia mendengar keluhan, keresahan dan rasa tidak puas hati anak muda . Kita ada lebih 12 juta belia. Tapi hanya 2.5 juta saja dalam persatuan, mana 10 juta lagi? Persatuan belia akan mati dalam vakumnya sendiri kalau pemimpin mereka tidak sedar eko-sistem sosial sudah berubah.
Anak muda sekarang sangat kompleks; tetapi pada masa sama, mereka kritis, lebih kreatif dan mahukan peranan yang lebih besar. Kalau kita sebut Gagasan 1Malaysia, mereka hendak tengok betulkah Rakyat Didahulukan ? dan Pencapaian di Utamakan? Di sinilah pentingnya engagement.
Kita percaya , anak muda sekarang sudah meninggalkan zaman The Angry Young Man,. Mereka tidak lagi percaya pada dokongan idea semata-mata. Interaksi serta pergaulan tanpa sempadan menjadikan anak muda kita turut memiliki aspirasi global. Mereka mahukan peranan, bukan setakat menyuarakan idea.
Jadi persoalannya, apa aspirasi global yang sedang bergerak sekarang di kalangan anak muda sejagat?
IRMOHIZAM: Banyak tetapi kebanyakannya gerakan alternatif untuk mencari ruang baru, ruang yang bebas daripada politik yang keterlaluan. Untuk itu, ramai anak muda menyisih diri dari politik, malah ada kalanya anak muda yang masuk politik akan dijenakakan rakan-rakannya. Kerana politik dianggap gaya lama dalam berjuang.
Dalam era post-moden, kita kena hati-hati. Kalau kita terus membiarkan generasi ini memandang sinis terhadap politik, dan anak-anak muda ini mengambil jalan mengasingkan diri – negara akan rugi. Banyak emas dan permata negara berada dalam kelompok anak-anak muda ini. Mereka menggelarkan diri sebagai indipendent atau indie.
Saya percaya, fenomena ini akan berkembang pantas, malah golongan indie atau mandiri ini akan menjadi penentu utama dalam PRU 14 kelak. Ini kerana jika PRU 14 diadakan 5 tahun dari sekarang , iaitu pada 2018, maka pengundi muda berusia 21 tahun yang mengundi untuk kali pertama, lahir pada 1997. Maknanya mereka lahir setelah 40 tahun kira merdeka. Sudah tentu trend pemikiran mereka tidak sama dengan pemikiran generasi awal kemerdekaan.
Generasi muda ini tidak minat berada dalam parti, tidak bersedia berada dalam persatuan, sebaliknya mereka bergerak secara ad-hoc dalam pelbagai komuniti yang pelbagai entiti. Hari ini, indie bukan lagi istilah untuk kerja seni seperti muzik, filem dan sastera semata-mata. Indie sudah meluas hingga melahirkan kumpulan-kumpulan pemikir muda yang bergerak dengan memberi nafas dan interpretasi baru terhadap: Apa itu gaya hidup dan medium intelektual.
Bayangkanlah bagaimana rencamnya pola pemikiran politik generasi muda menjelang PRU 14 nanti.
Jadi apakah istilah yang sesuai untuk indie?
IRMOHIZAM: Orang bijak yang bertindak melaksanakan ideanya. Sebab itu anak-anak muda ini membentuk komuniti sendiri. Tidak berpersatuan tetapi sangat aktif. Mereka menerbitkan karya masing-masing tanpa sebarang bantuan daripada mana-mana pihak. Mereka menganjurkan sesi-sesi debat dan dialog di tempat-tempat yang asal boleh. Tetapi isinya tentang masa depan negara ini.
Apa yang penting, mereka berpegang pada prinsip; kita mesti berperanan sebagai pelaksana idea. Bukan lagi sekadar menjadi pemikir yang menawarkan segala macam idea di dewan seminar sahaja.
Saya kagum sebab mereka mengumpul wang sendiri, bekerjasama antara mereka untuk menghasilkan filem sendiri. Saya ada dimaklumkan, filem Kontradiksi dihasilkan dengan bajet RM3,000 saja. Sebab pelakon dan krew bekerja percuma sebab nak bantu kawan yang nak buat filem.
Ini kualiti sikap yang baharu. Anak-anak muda indie ini, dalam pengasingan diri mereka kerana berasa rimas dengan ‘persatuan dan politik’ arus perdana, mula membentuk dunia mereka sendiri. Mereka mahu membangunkan ‘sistem’ baharu tanpa bergantung pada nilai-nilai arus perdana yang pada mereka bersifat rigid dan bergaya lama.
Jadi, bila Datuk jadi Presiden MBS, apa Datuk buat untuk merelevankan semula persatuan belia?
IRMOHIZAM: Engagement. Tak boleh lagi persatuan belia hidup dalam kepompongnya. Lama-lama terus langsung tidak relevan kerana tidak lagi mewakili arus perdana. Macam saya kata, akan datang fenomena mandiri atau indie yang akan menjadi trend anak muda. Mereka bersatu, dalam komuniti tanpa persatuan. Mereka bergabung anjur pelbagai aktiviti, malah untuk memastikan gaya kreatif dan aspirasi idea baharu mereka bersifat praktikal, mereka melakukannya dengan dana sendiri, sekali gus tidak lagi bergantung pada sistem berorganisasi cara arus perdana.
Jadi, saya ambil langkah engagement dengan mereka. Mulanya agak sukar, sebab saya datang dengan imej belia. Tapi tipsnya mudah, anak muda kita, kalau kita tunjukkan sikap mahu berkawan, saling menghormati, maka jadilah rakan.
Pada November dan Disember lalu, MBS bantu gerakan indie ini untuk mengadakan Pop Fest di Kuala Lumpur dan Shah Alam. Saya bantu, tanpa sebarang syarat. Di festival itu, kira-kira 800 seniman terdiri daripada penulis, sasterawan, pemuzik, penerbit buku, peniaga barangan vintaj serta indipreneur, istilah untuk usahawan produk indie, mengambil bahagian. Luar biasa, lebih 15,000 hadir. Walaupun festival ini kecil, tetapi sambutannya bagus.
Nampaknya sekarang Datuk sibuk pula dengan Showcase Anak Muda pula?
IRMOHIZAM: Ya, dari ilham melihat Pop Fest, saya nampak ruang untuk gandingkan entiti indie ini dengan aktiviti majlis belia (MDB) di daerah-daerah. Walaupun berbeza, kita yakin anak muda boleh duduk bersama untuk agenda negara. Jadi MBS dan entiti indie bergabung, menjelajah seluruh Selangor. Kita bawa Kempen Anti Dadah dan Projek Selamatkan Gaza sebagai tema jelajah ini.
Kita dah mulakan di Taman Medan untuk Daerah Petaling Jaya sangat berjaya. Lebih 8,000pengunjung, sampai melimpah tapak letak kereta. Kita akan meneruskan jelajah ini pada setiap Ahad di Kuala Selangor, Ulu Selangor, Hulu Langat dan Gombak. Saya berharap satu gelombang baru hasil gabungan indie dan belia dapat diwujudkan di negeri Selangor.
Apa kata akhir Datuk mengenai anak muda?
IRMOHIZAM: Saya sangat-sangat berharap generasi senior sedia untuk melayani ‘kerenah manja’ anak muda kita secara berhikmah dan adil. Jangan kecilkan atau pandang remeh aspirasi mereka. Anak muda juga ingin menyumbang dalam membangunkan negara. Kita lihat peranan anak muda di dalam perubahan politik di Asia Barat. Zaman kita tahu semua, sudah berlalu. Marilah kita tingkatkan engagement di antara generasi senior yang berpengalaman dengan generasi muda yang bersemangat.
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Rencana/20130125/re_02/Mentransformasikan-gerakan-belia#ixzz2Jc6UXl71
© Utusan Melayu (M) Bhd