Banting, 7 Ogos 2016 – Skuad MiB 300 dilihat sebagai sebuah platform dan peluang terbaik kepada para belia dalam melahirkan bakat kepimpinan. Program kepimpinan anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) yang diadakan di Kem PLKN Paya Indah, Kuala Langat, Selangor yang bermula 5-7 Ogos 2016 telah melabuhkan tirai dengan jayanya. Program ini telah dihadiri seramai 181 orang peserta daripada Badan-badan Gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM) dan beberapa Institut Pengajian Tinggi (IPT). Selaras dengan objektif Skuad MiB 300; menyediakan kepimpinan berumur bawah 30 tahun menjelang 2018, peserta diberikan peluang untuk menyerlahkan potensi mereka terutamanya dalam aspek yang berkaitan dengan kepimpinan iaitu kerjasama berpasukan, penyelesaian konflik, komunikasi dan banyak lagi yang dijalankan dalam bentuk modul yang telah dirancang secara teliti oleh barisan fasilitator yang terlatih.
Acara penutup dirasmikan oleh Sdr. Hasnul Fairuz Hushin, selaku Penolong Setiausaha Agung MBM. Majlis diserikan lagi dengan ucapan daripada Encik Mohd Faez Bin Mohd Abu Bakar yang merupakan ketua fasilitator kem kepimpinan kali ini. Majlis tersebut telah diakhiri dengan persembahan daripada para peserta program, penyampaian sijil dan sesi bergambar beramai-ramai. Turut menjayakan program Exco MBM Sdr. Hasanul Amir Abdul Halim.