SHAH ALAM 30 Mac 2012 – Selepas peniaga di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menghadapi masalah kenaikan kadar sewa premis perniagaan berlipat kali ganda, kini giliran Majlis Belia Selangor (MBS) pula menghadapi kemungkinan diusir dari Kompleks Belia dan Kebudayaan di Seksyen 7 di sini.
Ini berikutan pengurusan kompleks belia berkenaan yang dikendalikan anak syarikat kerajaan negeri, MSNS Holdings Sdn. Bhd. mahu menaikkan kadar sewa pejabat sehingga 300 peratus.
Sejak mengambil alih pentadbiran negeri, kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak menghulurkan sebarang bantuan kewangan kepada MBS dan persatuan belia di bawah naungannya.
Timbalan Presiden MBS, Badrul Hisham Badrudin berkata, kerajaan negeri masih menutup telinga terhadap masalah tersebut sedangkan sudah banyak permohonan pengurangan kadar sewa pejabat MBS diajukan kepada pihak pengurusan.
“Penaung MBS, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah beriltizam mahu melihat aktiviti belia di negeri ini digerakkan secara aktif dengan terbinanya kompleks itu tetapi dalam situasi sekarang kemungkinan besar kami bakal diusir,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Badrul Hisham berkata, dengan kenaikan sewa dari RM1,900 sehingga RM5,280 iaitu 300 peratus, MBS kini berada dalam keadaan tertekan kerana perlu membayar sewa bulanan secara tetap sedangkan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN), tiada sebarang bayaran dikenakan kepada mereka.
Katanya, masalah bermula apabila pejabat MBS yang sebelum ini ditempatkan di tingkat empat dan lima perlu melepaskan lot di tingkat lima selepas kepimpinan kerajaan negeri diambil alih oleh parti pembangkang.
Perkara tersebut, katanya, berpunca daripada arahan kerajaan negeri agar sewaan sebanyak RM1,900 dikenakan bagi setiap tingkat yang diduduki MBS iaitu keseluruhannya hampir mencecah RM4,000
“MBS bukan sebuah badan berasaskan keuntungan dan perniagaan yang boleh menjana keuntungan sehingga mampu menampung sebarang kos kenaikan sewa pejabat,” katanya.
Badrul Hisham berkata, sekiranya masalah kenaikan sewa terus berlarutan dan kerajaan negeri masih enggan memberi pertimbangan mengekalkan sewa sedia ada, MBS akan menghadap Tengku Amir untuk mengemukakan perkara tersebut.
“Jika kerajaan negeri benar-benar komited mahu melestarikan persatuan belia dan golongan belia di Selangor, mereka sepatutnya tidak mengenakan kadar sewa yang tinggi kepada MBS untuk menempatkan pejabat selain menggunakan prasarana di kompleks tersebut,” katanya.