KOTA BAHARU, 13 April – Majlis Belia Negeri Kelantan (MBNK) giat mengadakan pelbagai program bagi memastikan belia di negeri itu tidak terjerumus dalam aktiviti penyalahgunaan dadah terutama pil kuda.
Yang Dipertuanya Mohd Syahbuddin Hashim berkata ini kerana penyalahgunaan pil kuda dalam kalangan belia di negeri itu amat tinggi dan perlu ditangani segera.
Antara program yang diadakan ialah sembang santai, program ceramah, penerangan di sekolah serta pendekatan menggalakkan belia ke masjid bagi membendung aktiviti penyalahgunaan dadah, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Sidang 1/2015 Peringkat Negeri Kelantan disini, hari ini.
Katanya penglibatan belia dalam penyalahgunaan dadah jenis itu berikutan saiznya yang kecil dan mudah didapati.
“Terdapat lebih 600,000 belia di negeri Kelantan dan kita sentiasa komited untuk memastikan penyalahgunaan pil kuda dalam kalangan belia menurun,” katanya. – BERNAMA