KUALA LUMPUR 2 Dis – Majlis Belia Malaysia (MBM) telah mengadakan sesi perbincangan strategik di Parlimen Malaysia bersama-sama Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.
Perbincangan ini bertujuan memperkukuhkan agenda pembangunan belia serta mendapatkan maklum balas terkini mengenai pelbagai inisiatif belia di peringkat nasional.
Antara topik yang dibentangkan ialah perkembangan program-program utama seperti Rakan Muda, kepengerusian ASEAN Malaysia, serta pelaksanaan program bantuan banjir. MBM turut berkongsi usaha yang sedang giat dilaksanakan bagi memastikan keperluan dan suara golongan belia terus diangkat dan diberi perhatian sewajarnya.
MBM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Menteri atas komitmen padu dan sokongan konsisten terhadap MBM dan badan-badan gabungan dalam memacu agenda transformasi belia Malaysia.
Sesi ini turut dihadiri oleh Setiausaha Agung MBM, Sdr. Hasnul Haniff Harun, Puan Bibi Zaleha Zulkiflee, mewakili barisan Sekretariat MBM dan Encik Fadzil Hadri, Pegawai Tugas-Tugas Khas YB Menteri.