MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM: Elak beri kenyataan guris hati rakyat

RAZIATUL HANUM A. RAJAK
30 Disember 2013
Maliki, Presiden MBM
Maliki, Presiden MBM

SOAL kenaikan harga barang menjadi isu hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini daripada semua lapisan masyarakat tanpa mengira tua muda, kaya miskin, menteri rakyat, penjawat sektor awam mahupun sektor swasta.Ikuti temu bual Sinar Harian Online bersama Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana anda melihat fenomena kenaikan harga barang yang berlaku satu demi satu?

MBM: Sebenarnya bagi kami di MBM sudah menjangkakan suasana sebegini akan berlaku. Puncanya satu, apabila kos kepada barangan asas khususnya minyak dinaikkan (subsidi dikurangkan), kita dah jangka dah.

Sebab itu, paling kami bimbangkan ialah kenaikan kos bahan api sebab semua perkara bergantung padanya. Walaupun sesetengah pihak malah menteri juga menyatakan bahawa kesannya minimum, namun sekarang terbukti bahawa kesannya cukup besar.

Ada beberapa faktor. Pertama, apa yang dikurangkan adalah subsidi bukan harga minyak itu dinaikkan, rakyat juga harus faham. Tetapi dalam masa yang sama, ada orang yang tak sanggup menanggung nilai 20 sen itu. Contohnya peniaga kecil mengenakan kos tambahan kepada pengguna akhir, jadi, akhirnya semua barang keperluan akan meningkat.

Ini terbukti apabila saya membaca dokumen indeks harga pengguna untuk bulan November yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan. Ia menunjukkan bahawa beberapa komponen atau barangan sahaja yang tak mengalami kenaikan.

Antaranya, barangan kasut dan juga telekomunikasi. Telekomunikasi tak naik kerana ada undang-undang kawalan akta monopoli. Kasut pula mungkin belum sampai…tapi sekarang mungkin dah naiklah sebab musim sekolah.

Barang lain naik. Indeks harga pengguna meningkat dalam 2.0 mata. Ini satu kenaikan yang tinggi. Yang membuat pengguna rasa terkejut adalah kenaikan itu mendadak. Sama ada ia di bawah kebenaran kerajaan atau tidak, itu isu yang lain.

Sekarang kalau kita lihat di media sosial, mereka (rakyat) mula bercakap, dalam mesyuarat juga mereka bercakap. Wakil kerajaan, penjawat awam juga bercakap. Apatah lagi parti pembangkang dan sebagainya. Jadi, saya harap perkara ini diambil perhatian oleh semua pihak. Jika dibiarkan ia akan menjadi lebih teruk lagi.

SINAR HARIAN ONLINE: Sejauh mana anda melihat dasar merasionalisasikan subsidi difahami rakyat?

MBM: inilah dilema dalam negara kita. Di negara kita, kerajaan telah melimpahi rakyatnya dengan pelbagai kemudahan subsidi yang mana akhirnya untuk satu tempoh yang lama, terdapat golongan atau rakyat yang mengatakan bahawa ia bukan lagi satu keistimewaan tetapi satu hak.

Apabila ia satu hak, mereka menganggap sampai bila-bila pun ia mesti diberikan kepada mereka. Sedangkan subsidi ini bergantung pada keadaan ekonomi dan sebagainya. Mungkin proses memberi pemahaman kepada rakyat…sejauh mana perkara ini sampai kepada mereka?

Saya lihat, setiap kali kenaikan…orang seperti saya panggil ia kenaikan walaupun ia dipanggil rasional subsidi, ada saja perubahan dari segi subsidi, mesti akan ada kenaikan harga barang yang kita tak mampu kawal.

Ini menunjukkan ada rakyat yang tak faham atau buat-buat tak faham. Satu lagi isunya ialah, sejauh mana penguatkuasaan kita mampu menguatkuasakan undang-undang atas apa jua peraturan yang ada. Contohnya kawalan harga barang-barang. Kerajaan harus fikir daripada segi mekanisme kawalan.

SINAR HARIAN ONLINE: Berdasarkan perkembangan semasa, sejauh mana kerajaan mendengar keluh kesah rakyat?

MBM: Sebagai seorang yang belajar dalam bidang psikologi, kaunseling antara yang saya pelajari adalah nak menandakan seseorang itu ada satu perwatakan yang baik, dia mesti antara satu cirinya adalah menjadi pendengar yang baik.

Apabila menjadi pendengar yang baik, semua orang suka. Cakap banyak tak mahu tapi mendengar dengan baik. Jika antara individu dengan individu, pendengar yang baik ada tanda-tandanya. Contohnya bahasa tubuh yang kita yakin dia betul-betul ikhlas mendengar, kecondongan badan, raut wajah dan sebagainya.

Jadi, kepada sebuah kerajaan, saya juga sering menggunakan metafora begitu. Kerajaan yang baik adalah yang mesti menjadi pendengar yang baik. Ada 28 juta rakyat yang perlu dijaga. Memang susah nak menjadi pendengar yang baik.

Sakit kepala, sakit hati pun ada tetapi terpaksa buat. Jadi, kerajaan sekarang saya fikir, perlu menjadi pendengar yang lebih baik. Kena membezakan antara kritikan dengan tohmahan.

Pembangkang di Malaysia ini paling senang kerjanya. Mereka menang kerusi, mainkan isu-isu semasa tapi tak mencadangkan sesuatu yang konkrit secara jujur. Ini satu kelemahan pembangkang kita.

Mereka tunggu satu perkara itu betul-betul dah rosak, mereka ‘boom’. Sepatutnya mereka cadangkan ikut saluran yang betul, hormati sistem demokrasi yang ada. Kena terima bahawa kerajaan ini suka tak suka, kerajaan ini telah ditentukan berdasarkan pilihan raya.

Kerajaan pun manusia juga. Dah terlalu banyak ditohmah, difitnah sana sini, maka mereka membuat keputusan ikut cara dia. Sebab itu kadang-kadang ada menteri yang membuat kenyataan beremosi. Saya harap semua pihak, khususnya kerajaan dan juga pak menteri, bersikap relaks dan tenang. Kembali ke titik asal. Kaji sesuatu isu itu, fokus pada isu. Jangan fokus pada suasana.

Saya berharap rakyat Malaysia jangan berpolemik. Contohnya, dengan menaikkan harga barang, kita nak guling kerajaan. Cuba baca kesan dia apa. Seburuk-buruk kerajaan yang kita nampak hari ini, itulah yang terbaik yang ada kerana kerajaan itu dipilih secara sah.

Sekarang ini, kalau kita tiba-tiba guling kerajaan yang sah dan berharap kerajaan yang tidak sah untuk mengembalikan apa yang kita mahu, contohnya, harga barang kembali murah, pada saya itu suatu yang mengarut. Mustahil. Tak akan berlaku.

Sedangkan kerajaan yang sah pun sedang terkial-kial untuk memberi kebaikan kepada rakyat…sebab semua kerajaan mesti nak menyenangkan hati rakyat. BN sejak dulu memang sentiasa memberikan sesuatu yang terbaik untuk rakyat, saya yakin, tapi sekarang kita lihat BN ‘struggle’.

Mesti ada sebab, itu yang kita nak tahu. Itu yang rakyat nak tahu dan itu yang kerajaan perlu beritahu rakyat. Apa yang sedang berlaku? Tapi rakyat kena rasional. Perdana Menteri sendiri banyak kali berkias bahawa beliau tidak mahu menjadi seorang pemimpin yang populis.

Maknanya, tepati semua kehendak rakyat tetapi sebenarnya ada kekangan. Jadi, kita nak tahu, hutang kerajaan banyak mana sekarang ini, perbelanjaan banyak mana. Adakah Malaysia menikmati fasiliti pinjaman kewangan yang sama daripada badan-badan kewangan dunia seperti dulu atau sekarang ini dikurangkan.

Penarafannya bagaimana. Perkara-perkara ini perlu dijelaskan. Ini tanggungjawab pemimpin-pemimpin NGO misalnya supaya bersifat lebih matang. Janganlah pemimpin-pemimpin NGO termasuk belia sendiri, dia tukang beri api. Tukang provokasi supaya tercapai hasrat masing-masing mengguling kerajaan, kita bina kerajaan baru. Kita bukan dapat membina dalam sekelip mata.

Ada perkara yang pihak kerajaan perlu perbaiki. Isu-isu ketirisan… isu penguatkuasaan. Perbelanjaan pentadbiran perlu dikurangkan. Semua pihak harus berkorban. Saya pernah katakan, syarikat-syarikat pembekal utiliti dan juga pemegang konsesi pengurusan lebuh raya, apa salahnya jika mereka tidak menikmati keuntungan yang cukup besar berbanding dahulu pada tahun ini?

Kalau betul kerajaan perlu bayar RM400 juta, sebagai ganti tiada semakan semula, kerana mereka berhak mendapat semakan semula, tidak bolehkah syarikat-syarikat ini membuat keputusan melalui ahli lembaga pengarah atas nama kepentingan masyarakat?

Katalah kerana kami tidak mahu kenaikan kadar tol ini bertembung dengan kenaikan-kenaikan harga barang, maka kami tidak membuat tuntutan kepada kerajaan. Kan boleh? Pada saya, itu suatu yang adil. Mereka juga buat pelaburan dalam banyak bidang bukan hanya menguruskan lebuh raya sahaja.

Sekarang kerajaan dalam keadaan yang amat sukar untuk menampung semua perbelanjaan walaupun kerajaan kata mereka OK, memang OK tapi kita kena faham.

SINAR HARIAN ONLINE: Golongan belia yang baru mahu membina hidup antara yang terkesan ekoran kenaikan ini. Boleh anda komen sedikit.

MBM: Kerajaan perlu memberitahu kepada rakyat apa sebenarnya yang berlaku sebab apa yang jadi di atas, yang susah di bawah ini. Paling penting adalah kelompok belia. Saya ada sedikit data yang menunjukkan belia…contohnya yang bergraduat.

Menteri Pendidikan II ada menyatakan dalam ucapan dia. Kajian menunjukkan tidak lebih 30 peratus graduan ijazah pertama yang masuk dalam pasaran kerja mendapat gaji lebih RM2,500. Maknanya, gaji mereka setakat RM2,500 ke bawah.

Kalau duduk di KL, RM2,500 apa kita dapat? Seorang anak muda boleh bayar apa? PTPTN sedikit, atau PTPTN paling akhir. Sewa bilik RM300, api air RM200, kereta, gajet, minyak? Jangan kata anak muda kita tak rajin, pemalas atau memilih kerja. Mereka tak kira. Panjat menara tinggi pun sanggup asalkan bayarannya menarik.

Dalam suasana itu, semua harga barang naik. Jangan cerita nak kahwin, beli rumah. Memang tak mampu. Dalam satu mesyuarat baru-baru ini,  ada seorang pegawai daripada agensi awam kewangan menyelar.

Dia kata, kalau nak beli rumah, rumah ada bukan tak ada. Rumah teres dalam RM300,000. Cuba cari di Dengkil. Kenapa mesti semua nak beli di kawasan KLCC, orang muda semua nak ‘enjoy’ begitu.

Saya ada dalam mesyuarat itu. Saya beritahu menteri, saya duduk di Bangi, saya merayau sampai ke Beranang, Pajam untuk cari rumah.  Saya cari, memang tak ada. Itu contohnya pemikiran seorang penjawat awam dengan hakikat yang sebenar di bawah. Cuba cari sekarang rumah harga RM300,000 di Dengkil. Memang tak ada

Ini contoh pelaksana dan pembuat dasar yang tak faham suasana sebenar di bawah. Jadi, kalau ini tak dapat ditemukan, jangan bercakap soal mendengar itu tadi.

Jadi, sekarang ini kena berubah. Berubah menjadi pendengar yang baik. Saya berharap rakan-rakan, tuan-tuan menteri yang bijak pandai ini, jangan melompat, melenting kalau rakyat bercakap kerana selagi mereka mahu bercakap, maknanya komunikasi masih wujud. Tapi saya bimbang kalau rakyat dah mula tak nak bercakap.

Saya bukan mengugut atau mengancam tapi di mana-mana begitu. Jadi, cubalah. Zaman selesa sudah berlalu. Maka kita kena ubah.

SINAR HARIAN ONLINE: Jika kita lihat di negara-negara maju, kadar pengangguran dan golongan gelandangan meningkat gara-gara kos hidup yang terlalu tinggi. Adakah untuk mencapai tahap itu, kita perlu melalui fasa ini?

MBM:  Ada beberapa elemen yang perlu kita beri perhatian. Memang ada yang mengatakan bahawa apa yang berlaku sekarang ini adalah yang dikatakan unsur-unsur pembetulan. Demi nak meletakkan kembali Malaysia pada landasan yang betul.

Contohnya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diwujudkan. Selama ini daripada segi fiskal dan percukaian, kita memberi fokus kepada sesuatu yang tidak begitu betul. Ataupun dulu betul, sekarang kurang betul. Saya bukan ahli ekonomi. Saya cuma faham bahawa ada sesuatu yang perlu dibetulkan. Semua peringkat perlu dibuat pembetulan itu.

Kalau di luar negara, kadar pengangguran memang bercampur-campur. Ada yang meningkat, ada yang rendah dan sebagainya. Tapi pada pendapat saya, asas ekonomi sesebuah negara tak sama. Contohnya di Eropah, dia sudah beralih ke perkhidmatan.

Malaysia ini dalam konteks Asian pun, kita masih lagi bercampur-campur daripada segi asas ekonominya. Kita belum menjadi sebuah negara pembekal perkhidmatan. Kita pernah menjadi negara pengeluar pertanian tapi kita macam hampir hilang penguasaan dan akhirnya kita bergantung pada negara lain.

Untuk makanan haiwan sahaja pun kita bergantung pada bekalan luar. Jadi, import kita terlalu tinggi. Jagung untuk ayam pun kita import. Itu sebabnya harga ayam kita tinggi. Di sesetengah negara, kos hidupnya tinggi tetapi barang-barang keperluan mereka rendah.

Saya pernah ada pengalaman berhubung dengan NGO di sana. Mereka terpaksa minta kita bayar juga kerana mereka sudah mengeluarkan bil (resit). Bagi mereka resit itu penting untuk dirujuk dan kembalian rebat. Tapi perniagaan kita tak banyak guna sistem resit. Peniaga-peniaga kecil, mereka tulis di atas kotak saja. Sebab itu, GST memerlukan kita menyusun kembali semuanya.

Jadi, nak buat perbandingan dengan negara-negara lain, pada saya isunya adalah sistem. GST kalau dilaksanakan, yang paling banyak terjejas adalah peniaga-peniaga kecil yang tidak mahu mengubah cara mereka bekerja. Mereka keluar masuk duit dan barang tanpa ada kiraan sebenar. Tapi perniagaan yang betul-betul mengikut sistem perakaunan mereka akan maju ke depan.

SINAR HARIAN ONLINE: Cadangan MBM terhadap rakyat tangani bebanan hidup.

MBM: Kita kena tahu urus kewangan. Orang muda khususnya kena tahu nak urus kewangan. Lihatlah kisah-kisah kejayaan orang lain. Tapi pilih orang berjaya yang ada kemiripan latar belakang. jangan bandingkan diri kita dengan anak orang kaya. Memang tak jadilah.  Lihat bagaimana dia boleh melalui kehidupan yang sama tapi dia berjaya.

Negara Malaysia adalah sebuah negara Islam yang merupakan satu peluang ekonomi paling besar untuk meneroka negara-negara Timur Tengah dan OIC.

SINAR HARIAN ONLINE: Cadangan untuk kerajaan.

MBM: kerajaan sebagai badan yang berkuasa membuat keputusan harus mengurangkan kesan itu. Kesan negatif kenaikan harga barang. Memang tak dapat dielak tapi kurangkan. Bagaimana? Gunakan kaedah penggantian.

Mungkin harga barang naik tapi kos perkhidmatan dikurangkan ataupun penjelasan kepada rakyat sebaik-baiknya. Kemudian, elakkan membuat kenyataan-kenyataan yang lebih mengguris perasaan rakyat. Kalau perlu merayu kepada rakyat, rayulah. Jangan anggap kerajaan sentiasa di atas rakyat dan rakyat perlu telan segala-galanya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »