Perancangan Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk membangunkan sebuah Pusat Inovasi Sosial Belia (PISB) semakin dapat direalisasikan dengan mengambil langkah mengenalpasti belia yang berpotensi sebagai individu-individu penggerak PISB pada program TOT Inovasi Sosial yang diadakan di Kompleks Rakan Muda Kampar, Perak pada 10 – 12 Mac 2017 yang lalu.
Program yang dihadiri oleh 19 orang peserta yang mempunyai minat yang mendalam di dalam bidang inovasi sosial ini telah berjaya mengasah bakat mereka melalui pelbagai pengisian yang diberikan oleh ahli panel yang berkaliber seperti Dr. Mazalan Kamis, CEO Institut Darul Ridzuan (IDR), Sdri. Florence Ki, Pengurus Kanan Yayasan Inovasi Malaysia dan Sdr. Robest Yong, Inovator Malaysia.
Beberapa anak muda setempat yang menggelarkan diri mereka sebagai “Tim Along” juga sempat berkongsi rahsia kejayaan mereka dalam bidang perniagaan yang mereka ceburi bagi memberi inspirasi kepada peserta untuk terus bersemangat dalam melakukan inovasi sekaligus berjaya mendatangkan pulangan hasil yang lumayan.
Dalam program ini, peserta diberikan satu tugasan yang mencabar kemahiran, kreativiti, keberanian dan kesungguhan mereka. Sejumlah wang RM5 diberikan kepada setiap kumpulan dan mereka perlu mencari jalan untuk menggandakan wang tersebut mengikut kreativiti masing-masing. Pelbagai inisiatif dapat dilihat antaranya berniaga di pasar malam, menawarkan servis menolak trolly di tempat letak kereta pasaraya, servis penghantaran dobi dan lain-lain. Melalui aktiviti sebegini, para peserta mengakui bahawa mereka mula sedar akan kelebihan yang mereka ada sekaligus mampu menonjolkannya kepada masyarakat.
Kumpulan inovasi Foresight: Young Inovators’ yang diketuai pengasasnya, Sdr. Naim Jaafar bertindak sebagai pelatih kepada peserta dalam hampir keseluruhan program. Turut hadir dalam menjayakan program ini adalah barisan Exco MBM antaranya Sdr. Hasnul Fairuz Hushin Amri, Sdr. Hasnul Haniff Harun, Sdr. Thai Ming Yeow dan ahli dalam Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan Penyelidikan MBM, Sdr. Clive Allen.
Naib Presiden MBM, Sdr. Jufitri Joha hadir bagi merasmikan program selama tiga hari ini. Hadir sama dalam meraikan majlis perasmian ini adalah Setiausaha Kehormat Majlis Belia Negeri Perak, Sdr. Ahmad Shah Mohamad Salleh.